Skip to main content

Bisnes

AS, Indonesia meterai perjanjian turunkan tarif kepada 19%

Indonesia's President Prabowo Subianto, Kazakhstan's President President Kassym-Jomart Tokayev and other world leaders attend the inaugural meeting of the Board of Peace at the U.S. Institute of Peace in Washington, D.C., U.S., February 19, 2026. REUTERS/Kevin Lamarque
Subianto (tengah) ketika menghadiri mesyuarat sulung Lemabaga Keamanan di US Institute of Peace, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia telah memeterai satu perjanjian perdagangan baharu yang menetapkan tarif baharu AS ke atas barangan Indonesia pada kadar 19 peratus, berbanding 32 peratus sebelum ini.

Perjanjian itu dimuktamadkan oleh Presiden Donald Trump dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Khamis di Washington.

Advertisement

Menurut White House, Indonesia bersetuju mengurangkan halangan perdagangan ke atas lebih 99 peratus barangan import dari AS, termasuk produk pertanian, kesihatan, makanan laut, teknologi, serta barangan berkaitan automotif.

AS pula memberikan pengecualian tarif ke atas beberapa produk Indonesia seperti pakaian dan tekstil yang menggunakan kapas serta bahan buatan dari AS.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, berkata perjanjian tersebut “menghapuskan halangan perdagangan” sambil melindungi kepentingan rakyat AS.

Presiden Prabowo menandatangani perjanjian itu semasa menghadiri mesyuarat pertama Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump, yang turut membincangkan usaha pembinaan semula Gaza.

White House menjelaskan bahawa Indonesia akan membuka pasaran domestiknya dengan menerima pakai piawaian keselamatan dan pelepasan kenderaan AS, selain menerima standard makanan dan ubat-ubatan AS untuk peranti perubatan serta produk farmaseutikal.

Indonesia juga akan mengurangkan halangan terhadap barangan pertanian dan teknologi AS yang memasuki pasaran negara itu.

Perjanjian tarif ini adalah sebahagian daripada kerjasama perdagangan dua hala yang lebih luas.

Menurut laporan lain, Indonesia dan syarikat-syarikat AS telah mencapai 11 perjanjian komersial bernilai AS$38.4 bilion, merangkumi pembelian kapas, soya, jagung, gandum serta kerjasama sektor mineral kritikal dan teknologi cip komputer.

Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai “satu perjanjian hebat” yang akan memperkukuh keselamatan ekonomi kedua-dua negara serta mendorong pertumbuhan ekonomi. 
 

Must Watch Video