OSAKA: Sebuah bandar di Jepun menerima sumbangan luar biasa apabila seorang penderma misteri menghadiahkan 21 kilogram (kg) jongkong emas bernilai sekitar 560 juta yen (AS$3.6 juta) untuk membantu membaik pulih sistem airnya yang semakin uzur.
Sumbangan itu dibuat pada November lalu, umum Datuk Bandar Osaka Hideyuki Yokoyama dalam sidang media pada Khamis.
Advertisement
Osaka, yang mempunyai hampir tiga juta penduduk dan merupakan bandar ketiga terbesar di Jepun, berdepan masalah saluran paip air dan pembetungan yang semakin tua, isu yang turut membelenggu banyak bandar besar lain di negara itu.
Pada tahun fiskal 2024, Osaka mencatat lebih daripada 90 kejadian paip bocor di bawah laluan jalan rayanya, menurut Biro Air bandar tersebut.
Datuk Bandar Yokoyama menyifatkan derma itu sebagai “menakjubkan” dan mengakui bahawa beliau “terkedu tanpa kata-kata” menerima bantuan sebesar itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa penderma yang sama sebelum ini pernah menyumbang 500,000 yen bagi kerja-kerja penyelenggaraan air bandar.
Dalam satu kenyataan, Biro Air Osaka merakamkan penghargaan atas sumbangan berbentuk emas tersebut dan berjanji akan menggunakan dana berkenaan untuk menangani kerosakan serius pada saluran paip air bandar.
Menurut laporan media tempatan, lebih 20 peratus paip air di Jepun telah melebihi tempoh hayat perkhidmatan sah sebanyak 40 tahun.
Akibatnya, kejadian lubang benam semakin kerap berlaku, khususnya di kawasan bandar yang memiliki rangkaian pembetungan yang sangat tua.
Pada tahun lalu, sebuah lubang benam besar di Wilayah Saitama menelan kabin sebuah lori dan meragut nyawa pemandunya.
Pemeriksaan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pembetungan yang pecah, insiden yang mencetuskan usaha nasional untuk mempercepat penggantian saluran paip.
Namun, kekangan bajet menghalang kemajuan projek pembaharuan infrastruktur tersebut.