DUNIA
Mogok cetus gangguan perjalanan penumpang kereta api bawah tanah di London

Kelihatan papan tanda memaklumkan mengenai mogok yang dirancang di Stesen Waterloo, London, Britain, 7 Sept 2025. REUTERS
LONDON: Perkhidmatan London Underground terjejas pada Ahad berikutan permulaan mogok oleh ribuan pekerja yang dijangka menjejaskan perjalanan di ibu negara itu, lapor PA Media/dpa.
Ahli Kesatuan Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT), termasuk pemandu, jurusemboyan dan pekerja penyelenggaraan, melancarkan beberapa siri mogok berhubung gaji dan syarat kerja yang akan menyebabkan gangguan besar kepada jutaan penumpang.
Transport for London (TfL) memberi amaran bahawa hanya sedikit atau tiada perkhidmatan langsung antara Isnin hingga Khamis, susulan gangguan yang bermula pada Ahad.
TfL menawarkan kenaikan gaji sebanyak 3.4 peratus yang disifatkan sebagai "adil" dan berkata pihaknya tidak mampu memenuhi tuntutan RMT untuk memendekkan minggu bekerja.Pengarah operasi pelanggan London Underground (LU), Nick Dent, berkata tuntutan kesatuan untuk memendekkan minggu bekerja 35 jam adalah "tidak mampu ditanggung" dan akan menelan kos ratusan juta pound.
Kali terakhir mogok melibatkan seluruh perkhidmatan kereta api bawah tanah (Tube) diadakan tiga tahun lalu berhubung isu gaji dan pencen, namun Dent berkata tindakan minggu depan akan berbeza kerana kumpulan pekerja berasingan akan melancarkan mogok pada hari berlainan.
Jurucakap RMT berkata mereka tidak melancarkan mogok untuk mengganggu perniagaan kecil atau orang awam.
"Mogok ini diteruskan kerana pendekatan tidak bertolak ansur pihak pengurusan TfL dan keengganan mereka untuk mempertimbangkan walaupun sedikit pengurangan dalam minggu bekerja demi membantu mengurangkan keletihan dan kesan kesihatan jangka panjang akibat kerja syif berterusan terhadap ahli kami.
"Kami percaya minggu bekerja yang lebih pendek adalah adil dan mampu dilaksanakan. Sejak 2018, jumlah kakitangan London Underground berkurangan sebanyak 2,000 orang dan ahli kami kini menanggung tekanan akibat corak kerja syif yang melampau," kata jurucakap itu.
Sementara itu, penumpang dinasihatkan menyemak jadual perjalanan sebelum keluar, dengan sebahagian perkhidmatan kereta api bawah tanah yang masih beroperasi serta bas yang dijangka lebih sesak daripada biasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami