NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk menafikan laporan bahawa pengeluar kenderaan elektrik itu sedang mempertimbangkan untuk memisahkan operasi perniagaannya di China bagi membuka laluan kepada kemungkinan penggabungan dengan syarikat aeroangkasa miliknya, SpaceX, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Ini berita palsu," kata Musk di platform media sosial X, sebagai respons kepada satu hantaran mengenai laporan Wall Street Journal. Hantaran yang dijawab Musk pada lewat Khamis itu kemudiannya dipadamkan.
Kilang Tesla di Shanghai menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran kenderaan global syarikat itu. Satu-satunya kilang pembuatan Tesla di luar Amerika Syarikat terletak berhampiran Berlin, Jerman.
Wall Street Journal, yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, melaporkan bahawa beberapa eksekutif Tesla diarahkan membuat persediaan bagi pemisahan operasi syarikat di China menjelang kemungkinan penggabungan itu.
Sumber kedua memberitahu akhbar berkenaan bahawa penasihat syarikat membincangkan beberapa pilihan termasuk memisahkan, menjual atau menutup operasi Tesla di China.
Spekulasi mengenai kemungkinan penggabungan antara Tesla dan SpaceX, yang kedua-duanya diterajui Musk, sudah lama tersebar. Semasa panggilan persidangan keputusan kewangan suku tahunan Tesla minggu lepas, Musk tidak banyak menafikan khabar angin itu.
Apabila ditanya oleh seorang penganalisis mengenai kemungkinan penggabungan, beliau mengakui terdapat pertindihan antara kedua-dua syarikat, namun berkata panggilan persidangan itu bukan platform yang sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan.
"Ia perlu dilakukan mengikut proses yang sewajarnya," kata Musk sebelum menyerahkan sesi itu kepada Ketua Pegawai Undang-Undang Tesla Brandon Ehrhart, yang menjelaskan mengenai projek kerjasama antara kedua-dua syarikat, termasuk pembinaan sebuah kilang semikonduktor yang dikenali sebagai Terafab.
Penggabungan antara Tesla dan SpaceX tidak mungkin dapat dilaksanakan selagi Tesla masih mengekalkan operasi perniagaannya di China, menurut Wall Street Journal, .
SpaceX merupakan kontraktor utama bagi inisiatif penerbangan angkasa lepas Amerika Syarikat dan melaksanakan pelbagai pelancaran kerajaan, termasuk misi ketenteraan. Syarikat itu juga berperanan penting dalam program penerokaan bulan semasa Amerika Syarikat.
--BERNAMA-dpa