ELON MUSK mengumumkan pertarungan dalam sangkar antara beliau dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg akan disiarkan secara langsung di platform media sosial X yang dimilikinya atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Kedua-dua ikon media sosial itu telah saling mencabar antara satu sama lain untuk disatukan dan bertarung dalam sangkar seni bela diri di Las Vegas, Amerika Syaerikat (AS) sejak bulan Jun lalu.

"Pertarungan Zuck v Musk akan disiarkan secara langsung di X. Semua hasil akan disumbangkan untuk kebajikan veteran," kata Musk dalam sebuah kiriman di X pada Ahad tanpa berkongsi perincian lanjut.

Terdahulu, Musk memaklumkan di X yang beliau, “mempersiapkan diri setiap hari dengan melakukan aktiviti mengangkat berat sebagai persiapan menghadapi pertarungan itu” dan memberitahu masanya begitu terbatas sehingga memaksa dia mengadakan latihan dengan cara mengangkat berat.

Ditanya oleh pelayar X tujuan pertarungan itu diadakan, Musk berkata: “Ini merupakan perang yang bertamadun. Lelaki menggemari perang."

Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada pihak Meta mahupun Zuckerberg berhubung rancangan Musk itu.

Keghairahan terhadap pertarungan dua personaliti masyhur dunia itu tercetus selepas Musk, 52, dalam hantaran di media sosial pada 20 Jun lalu berkata, beliau “sedia untuk bertarung dalam sangkar” dengan
Zuckerberg, 39, yang dikesan sedang menjalani latihan seni bela diri jiujitsu.

Sehari kemudian, Zuckerberg pula seperti menyahut cabaran Musk dengan berkongsi gambar-gambar kejohanan yang dimenanginya di akaun media sosial Instagram yang diasaskannya dengan meninggalkan pesanan kepada pesaingnya itu untuk “mengirim lokasi” berhubung hasrat tersebut.

Dan Musk juga tidak menunggu lama untuk membalas pesanan Zuckerberg dengan menjawab “Octagon Vegas” iaitu merujuk pada lokasi pertandingan kejuaraan seni bela diri campuran (MMA) dunia lazim diadakan. - Agensi