WASHINGTON: Pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata AS telah memusnahkan senjata kimia terakhirnya, sekali gus menyelesaikan proses selama beberapa dekad.

Roket M55 yang dilengkapi agen saraf sarin itu telah dimusnahkan di Depoh Tentera Blue Grass di Kentucky, lapor United Press International (UPI).

"Ini adalah kali pertama badan antarabangsa mengesahkan pemusnahan keseluruhan kategori senjata pemusnah besar-besaran - mengukuhkan komitmen Amerika Syarikat untuk mewujudkan dunia yang bebas senjata kimia," kata Setiausaha Pertahanan Pemerolehan dan Penyenggaraan William A LaPlante dalam satu kenyataan.

AS pernah mempunyai lebih 30,000 tan ejen perang kimia, pada tahun 1986, Kongres mengeluarkan mandat bahawa senjata itu perlu dimusnahkan dan prosesnya bermula pada 1990.

Presiden Joe Biden memuji usaha berkenaan, sambil berkata semua negara harus menyertai Konvensyen Senjata Kimia untuk mengenakan larangan terhadap senjata itu.

"Selama lebih 30 tahun, AS telah bekerja tanpa jemu untuk menghapuskan simpanan senjata kimia kami.

"Hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa AS telah selamat memusnahkan peluru terakhir yang ada dalam simpanan, membawa kita selangkah lebih dekat ke dunia yang bebas senjata kimia," katanya.

Bulan lalu, satu pasukan syarikat di Colorado yang diketuai oleh Bechtel National Inc. telah menyelesaikan proses memusnahkan lebih 780,000 peluru kimia.

-- BERNAMA