DUNIA
Nahas Air India: Mahkamah tertinggi India minta jawapan kerajaan pusat, pengawas penerbangan

AAIB, sebuah agensi kerajaan yang menyiasat nahas pesawat di India, mengeluarkan laporan awalnya pada 12 Julai. - Gambar fail Reuters
NEW DELHI: Mahkamah tertinggi India pada Isnin meminta jawapan daripada kerajaan pusat dan Direktorat Am Penerbangan Awam (DGCA) berhubung litigasi kepentingan awam (PIL) yang menuntut satu siasatan bebas, adil dan segera terhadap nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa, lapor Xinhua memetik pegawai.
Mahkamah itu membidas laporan yang memetik penemuan awal Biro Penyiasatan Nahas Pesawat (AAIB) yang mendakwa juruterbang sengaja mematikan bekalan bahan api, dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai "amat malang dan tidak bertanggungjawab."
AAIB, sebuah agensi kerajaan yang menyiasat nahas pesawat di India, mengeluarkan laporan awalnya pada 12 Julai.
Rayuan difailkan oleh Safety Matters Foundation, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, yang membangkitkan beberapa isu mengenai laporan awal itu.Ia mendakwa laporan berkenaan melanggar Peraturan Pesawat (Siasatan Kemalangan dan Insiden) 2017, yang mewajibkan pendedahan penuh data faktual yang dikumpul pada peringkat awal siasatan.
Pempetisyen berhujah laporan itu terlalu awal menyalahkan juruterbang sebagai punca nahas sambil mengabaikan luar aturan teknikal dan sistemik yang telah didokumentasikan.
Selain itu, ia mendakwa tiga anggota panel siasatan adalah daripada pihak pengawal selia penerbangan, sekali gus menimbulkan kemungkinan konflik kepentingan.
Laporan awal juga gagal memasukkan atau mengiktiraf keterangan daripada seorang penumpang yang terselamat.
Pempetisyen turut menuntut pendedahan data daripada perakam data penerbangan pesawat yang boleh menjelaskan punca sebenar nahas.
Pada 12 Jun, pesawat Air India jenis Boeing 787-8 Dreamliner yang menuju London itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, kira-kira 17 km dari Gandhinagar, ibu negeri Gujarat, menyebabkan semua kecuali seorang daripada 242 penumpang terbunuh.
Nahas itu turut mengorbankan 19 orang dan mencederakan 67 lagi di kawasan darat selepas pesawat terhempas di perkarangan Kolej Perubatan B J di kawasan Meghaninagar, sekali gus menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan.
Penemuan awal AAIB turut menyatakan bekalan bahan api ke enjin pesawat terputus berikutan kekeliruan mengenai pergerakan suis enjin di kokpit antara juruterbang.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami