BIRMINGHAM, ENGLAND: Tiga anggota Tentera Laut Diraja terkorban apabila sebuah helikopter Merlin Mk4 terhempas di sebuah padang di Devon, barat daya England semasa latihan dijalankan, menurut kenyataan pegawai pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke Sourton Down berhampiran Okehampton sejurus selepas nahas berlaku, menurut Polis Devon dan Cornwall.
Penutupan jalan dilaksanakan di sekitar laluan A386 dan A30 bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan kerja di lokasi kejadian.
Seorang jurucakap Tentera Laut Diraja berkata: “Dengan rasa amat dukacita, kami mengesahkan bahawa tiga anggota Tentera Laut Diraja maut semasa latihan helikopter dijalankan. Takziah kami ucapkan kepada keluarga serta rakan mangsa.”
Ketua Turus Tentera Laut, Jen. Sir Gwyn Jenkins berkata, beliau “amat sedih” dengan insiden berkenaan dan mengesahkan pesawat yang terlibat ialah sebuah Merlin Mk4.
Beliau menyifatkan nahas itu sebagai “kejutan besar” buat komuniti tentera laut dan berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan atas tindakan pantas mereka.
Nahas itu berlaku pada awal pagi Rabu berhampiran kawasan latihan ketenteraan yang digunakan oleh kru helikopter di pinggir Dartmoor.
-- BERNAMA-ANADOLU