Sebuah helikopter yang sedang membawa 23 orang penumpang dilaporkan terhempas berhampiran barat ibu kota Tripoli pada Selasa.

Menurut sumber keselamatan, sekurang-kurangnya 14 orang disahkan maut dalam insiden itu.

Punca sebenar nahas masih belum dikenal pasti.

Seorang pegawai keselamatan yang berpusat di Tripoli berkata, pihaknya tidak mengetahui apakah punca dan jumlah sebenar mangsa yang terbunuh atau jika ada yang terselamat.

Sumber keselamatan juga berkata, helikopter itu mungkin terkena tembakan sebelum terhempas di kawasan pantai.

Semasa kejadian, helikopter itu dipercayai dalam perjalanan keluar membawa wang tunai ke sebuah bank tempatan.

Libya, negara Afrika Utara menyaksikan keganasan yang menjadi-jadi sejak penggulingan dan pembunuhan pemimpin Muammar Gaddafi pada tahun 2011.