SEOUL: Polis Korea Selatan menyerbu pejabat Korea Airports Corp. (KAC) serta dua lokasi lain pada Selasa bagi mendapatkan bahan bukti berkaitan siasatan nahas pesawat Jeju Air pada 2024 yang mengorbankan 179 nyawa.
Agensi berita Yonhap melaporkan pasukan khas yang mengendalikan siasatan itu telah dihantar ke KAC, yang menguruskan sebahagian besar lapangan terbang domestik utama kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, selain Kementerian Pengangkutan dan Pejabat Penerbangan Wilayah Busan.
Seorang pegawai pasukan siasatan berkata tindakan itu bertujuan mendapatkan dokumen tambahan berhubung dakwaan kecuaian profesional yang menyebabkan kematian atau kecederaan, iaitu antara pertuduhan yang sedang disiasat terhadap 74 suspek setakat ini.
Menurut laporan itu, serbuan terbaharu tersebut merupakan kali ketiga penyiasat melakukan geledah di pejabat Kementerian Pengangkutan bagi melengkapkan siasatan.
Polis berkata pertuduhan tambahan, termasuk kesalahan menyebabkan bencana awam yang serius, turut sedang dipertimbangkan terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.
Siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti punca sebenar nahas yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 29 Dis 2024 serta sama ada agensi yang terlibat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya.