Skip to main content

Dunia

NASA umum kru Artemis III, misi bulan ditukar kepada ujian orbit

Mission specialist Andre Douglas speaks during the unveiling for the NASA Artemis III mission at an event at NASA Johnson Space Center in Houston, Texas, U.S., June 9, 2026. REUTERS/Antranik Tavitian
Pakar misi, Andre Douglas, berucap semasa majlis pelancaran misi NASA Artemis III di Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston, Texas, AS. - Foto REUTERS

HOUSTON: Agensi Penerbangan dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan barisan angkasawan bagi misi Artemis III, namun misi itu tidak lagi melibatkan pendaratan manusia di bulan seperti dirancang sebelum ini.

Misi yang dahulunya dijangka menjadi pendaratan berawak pertama sejak Apollo 17 pada 1972 kini diubah kepada ujian teknologi di orbit bumi rendah, termasuk ujian penyambungan (docking) dengan prototaip kenderaan pendaratan bulan.

Pentadbir NASA, Jared Isaacman, berkata walaupun skop misi dikurangkan, Artemis III akan menjadi antara operasi penerbangan angkasa paling kompleks pernah dilaksanakan.

“Misi ini memerlukan koordinasi pelancaran roket berat paling menakjubkan dalam sejarah,” katanya.

Randy Bresnik dilantik sebagai komander misi, manakala angkasawan Agensi Angkasa Eropah (ESA), Luca Parmitano, menjadi juruterbang.

Dua lagi anggota ialah Andre Douglas dan Frank Rubio sebagai pakar misi, dengan Bob Hines sebagai kru simpanan.

Perubahan misi dibuat susulan kelewatan pembangunan sistem pendaratan, khususnya roket Starship oleh SpaceX yang masih memerlukan ujian penting seperti pengisian bahan api di orbit.

Pendekatan baharu ini membolehkan NASA mengurangkan risiko dengan menguji sistem kritikal terlebih dahulu sebelum misi pendaratan sebenar dilaksanakan.

Selain itu, insiden letupan roket New Glenn milik Blue Origin pada Mei lalu yang merosakkan tapak pelancaran turut menjejaskan jadual program Artemis.

NASA kini menyasarkan Artemis III dilancarkan sekitar 2027 sebagai demonstrasi teknologi, diikuti Artemis IV yang dijangka menjadi misi pendaratan manusia ke bulan seawal 2028.

Namun, beberapa pakar menganggap garis masa itu mencabar berikutan pelbagai cabaran teknikal dan kebergantungan kepada rakan komersial.

Perlumbaan ke bulan juga semakin sengit, dengan China menetapkan sasaran untuk mendaratkan angkasawan menjelang 2030.

Secara keseluruhan, Artemis III kini dilihat sebagai langkah penting dalam menguji keupayaan teknologi sebelum manusia kembali menjejakkan kaki di permukaan bulan buat kali pertama dalam lebih setengah abad.
 

 

Must Watch Video

Advertisement