Skip to main content
Advertisement

Dunia

Nasib politik Marine Le Pen ditentukan dalam keputusan mahkamah kritikal

Far-right leader Marine Le Pen, left center, accompanied by far-right party National Rally president Jordan Bardella, right center, attend a rally in Lievin, northern France, Saturday, July 4, 2026. (AP Photo/Jean-Francois Badias)
Le Pen (kiri tengah), diiringi Bardella (kanan tengah), menghadiri satu perhimpunan di Lievin, utara Perancis. - Foto AP
Advertisement

PARIS: Perancis menantikan dengan penuh debar keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada Selasa yang bakal menentukan sama ada pemimpin parti National Rally (RN), Marine Le Pen, boleh bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan atau disingkirkan daripada perlumbaan ke jawatan tertinggi negara itu.

Keputusan tersebut dilihat sebagai antara penghakiman kehakiman paling penting dalam politik Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana Le Pen, 57, kini dianggap antara calon utama untuk menggantikan Presiden Emmanuel Macron yang tidak boleh bertanding semula selepas tamat penggalnya.

Le Pen sedang merayu sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya pada Mac 2025 berhubung penyalahgunaan dana Parlimen Eropah.

Mahkamah ketika itu mendapati beliau terlibat dalam skim yang membolehkan kakitangan partinya dibayar menggunakan dana Kesatuan Eropah (EU) walaupun mereka menjalankan tugas untuk parti di Perancis dan bukannya tugas rasmi Parlimen Eropah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman larangan memegang jawatan awam selama lima tahun, selain hukuman penjara yang dijalankan di rumah dengan pemantauan elektronik.

Le Pen bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan keputusan itu sebagai bermotifkan politik.

Selepas perbicaraan rayuan yang berlangsung awal tahun ini, mahkamah kini mempunyai beberapa pilihan termasuk mengekalkan hukuman asal, membatalkannya, atau mengubah syarat hukuman yang dikenakan.

Jika larangan memegang jawatan awam selama lima tahun dikekalkan, peluang Le Pen untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2027 akan tertutup sepenuhnya.

Dalam situasi itu, Presiden RN yang juga sekutunya, Jordan Bardella, 30, dijangka mengambil alih sebagai calon parti berkenaan.

Bardella ketika ini turut menikmati sokongan kuat dalam tinjauan pendapat, namun ramai penganalisis berpendapat usia muda dan pengalaman politik yang lebih terhad boleh menjadi cabaran besar apabila kempen pilihan raya bermula.

Le Pen baru-baru ini turut menegaskan beliau tidak akan bertanding sekiranya mahkamah mengarahkan pemakaian gelang pemantauan elektronik yang menurutnya akan menyukarkan pergerakan sepanjang kempen pilihan raya.

“Saya boleh menjadi calon hanya jika saya bebas untuk berkempen,” katanya dalam satu temu bual televisyen menjelang keputusan mahkamah.

Walaupun masa depan politiknya bergantung kepada keputusan Selasa ini, Le Pen menegaskan beliau akan terus memperjuangkan ideologinya walau apa pun hasil keputusan mahkamah.

Pemerhati politik melihat keputusan itu bukan sahaja akan menentukan nasib Le Pen, malah berpotensi mengubah landskap politik Perancis menjelang pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung pada April dan Mei 2027. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement