Skip to main content

Dunia

'Nenek moyang kami berkorban pertahan Selat Hormuz' - Naib Presiden Iran

41769726553_MohammadRezaAref.jpg
Mohammad Reza juga menambah bahawa Iran sedang memasuki ruang baharu, iaitu memboikot mana-mana negara di rantau Arab tidak lagi menjadi pilihan dan tidak lagi boleh dipertikai. - Gambar fail
Advertisement

NAIB Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref menegaskan bahawa Selat Hormuz adalah milik Iran dan mengingatkan bahawa nenek moyang mereka telah mengorbankan banyak nyawa sepanjang sejarah untuk mempertahankan laluan perairan strategik berkenaan.

“Selat Hormuz adalah milik Iran, dan nenek moyang kami telah mengorbankan banyak nyawa sepanjang sejarah untuk mempertahankan selat itu, dan selat tersebut tidak seharusnya dilalui sesuka hati,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat kerajaan pada Ahad, lapor Al Jazeera memetik agensi berita ISNA.

Dalam pada itu, Mohammad Reza menyatakan harapannya agar rundingan di Switzerland membuahkan hasil.

Rundingan itu menyusul selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Rabu (17 Jun) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, menurut Reuters.

Mohammad Reza juga menambah bahawa Iran sedang memasuki ruang baharu, iaitu memboikot mana-mana negara di rantau Arab tidak lagi menjadi pilihan dan tidak lagi boleh dipertikai.

Beliau turut mendakwa Iran kini menggunakan 'kelebihan strategik' yang sebelum ini tidak dimanfaatkan dalam rundingan.

“Ini kerana kami mempunyai kelebihan strategik yang lebih besar berbanding pihak satu lagi, dan kami langsung tidak menggunakannya sebelum ini, tetapi kini kami sedang menggunakannya,” katanya.

Semalam, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran mengumumkan bahawa Selat Hormuz "akan ditutup" ekoran tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa melanggar komitmen, selain pelanggaran gencatan senjata yang berterusan oleh Israel di selatan Lubnan, lapor  Anadolu Ajansi yang memetik saluran penyiaran tempatan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media rasmi Press TV, ibu pejabat itu memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat susulan tindakan AS yang "jelas memungkiri janji dan melanggar komitmennya" melalui kegagalan melaksanakan Fasal 1 Memorandum Persefahaman yang ditandatangani minggu lepas bagi menamatkan perang.

Kenyataan itu turut memetik "pelanggaran gencatan senjata secara berterusan oleh rejim Israel di selatan Lubnan" serta kegagalan pasukan pendudukan Israel untuk berundur dari wilayah selatan Lubnan.

 

Must Watch Video

Advertisement