BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata negara itu perlu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan beralih kepada pembangunan sistem persenjataan sendiri.
Dalam klip video yang dikongsikan pejabatnya hari ini, Netanyahu menyatakan perkara itu ketika berucap di hadapan anggota tentera Israel minggu lalu, lapor Al Jazeera.
Netanyahu berkata walaupun menghargai sokongan daripada AS, Israel perlu membina keupayaan pertahanan yang lebih berdikari.
“Saya amat menghargai sokongan yang kami terima daripada rakan-rakan di Amerika, namun kita perlu membebaskan diri daripada kebergantungan ini dan membina sistem persenjataan bebas kita sendiri,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel berdepan tekanan yang meningkat daripada White House agar mengurangkan serangan di selatan Lubnan.
Bagaimanapun, Netanyahu berkata tentera Israel akan terus melaksanakan operasi di wilayah tersebut bagi memusnahkan kubu serta infrastruktur milik pejuang Hezbollah.
Perkembangan itu menunjukkan ketegangan berterusan di Asia Barat, selain menandakan cabaran dalam hubungan antara Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat.