Skip to main content

Dunia

New Zealand akan tawarkan saringan serviks percuma kepada semua wanita yang layak

n Menteri Kesihatan new Zealand Simeon Brown Kredit: FB Simeon Brown MP
Simeon Brown berkata dianggarkan 786,000 wanita lagi akan layak menerima saringan serviks percuma di bawah dasar berkenaan. - Foto Facebook
Advertisement

WELLINGTON: Saringan serviks akan diberikan secara percuma kepada semua wanita yang layak berusia 25 hingga 69 tahun di New Zealand mulai 1 Mac 2027, kata kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan Simeon Brown dalam satu kenyataan berkata dianggarkan 786,000 wanita lagi akan layak menerima saringan serviks percuma di bawah dasar berkenaan.

Ketika ini, kira-kira 55 peratus wanita yang layak menjalani saringan serviks perlu membayar kos janji temu, yang boleh mencecah antara NZ$35 hingga lebih NZ$100 (kira-kira AS$21 hingga lebih AS$59), menurut kerajaan.

Kanser serviks adalah antara kanser yang paling boleh dicegah, menurut kenyataan itu, sambil menyatakan hampir setiap kes berpunca daripada HPV, iaitu virus yang lazim dan boleh dikesan melalui ujian saringan jauh sebelum kanser berkembang.

Apabila kanser serviks dikesan pada peringkat awal, kira-kira 91 peratus wanita dapat bertahan hidup, namun kadar kelangsungan hidup itu menurun kepada sekitar 19 peratus apabila penyakit itu merebak, katanya.

Menteri Wanita Nicola Grigg turut melancarkan Pelan Penghapusan Kanser Serviks New Zealand 2026-2040, yang menyasarkan untuk mengurangkan kadar kejadian kanser serviks kepada kurang daripada empat kes bagi setiap 100,000 wanita setahun merentasi semua kumpulan penduduk menjelang 2040.

Pelan itu menetapkan sasaran supaya 80 peratus wanita mendapatkan saringan terkini menjelang 2030 dan 90 peratus golongan muda menerima dos pertama vaksin HPV sebelum mencapai usia 15 tahun menjelang 2035.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement