DUNIA
Novelis Sally Rooney tetap sokong Palestine Action walaupun diisytihar kumpulan pengganas

Rooney salur royalti adaptasi BBC kepada aktivis Palestin, dan kecam kerajaan UK kerana lindungi kepentingan Israel. - Foto X/Zaffar Kunial
DUBLIN: Novelis terkenal Ireland, Sally Rooney, menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan terus menyokong kumpulan aktivis pro-Palestin, Palestine Action, walaupun ia telah diharamkan dan diisytihar sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan United Kingdom pada Julai lalu.
Ringkasan AI
- Novelis Ireland Sally Rooney berikrar terus sokong Palestine Action, walaupun UK isytihar kumpulan itu sebagai organisasi pengganas.
- Rooney salur royalti adaptasi BBC kepada aktivis Palestin, dan kecam kerajaan UK kerana lindungi kepentingan Israel.
- Lebih 700 ditahan sejak pengharaman, termasuk 500 dalam demo besar - Rooney gesa Ireland pertahan hak rakyatnya yang ditahan.
Rooney, yang terkenal dengan novel Normal People dan Beautiful World, Where Are You, berkata beliau akan menyalurkan royalti daripada adaptasi BBC terhadap karya-karyanya untuk menyokong kumpulan tersebut.
Beliau juga menyelar tindakan kerajaan UK yang menurutnya telah “merampas hak dan kebebasan asas rakyatnya demi melindungi hubungan dengan Israel.”
Palestine Action, yang ditubuhkan pada 2020, dikenali dengan aksi langsung terhadap syarikat senjata yang membekalkan peralatan kepada Israel.
Antara tindakan mereka termasuk menyembur cat merah ke atas pesawat tentera dan menceroboh kilang senjata.
Sejak pengharaman pada 5 Julai, lebih 700 orang telah ditahan, termasuk lebih 500 dalam demonstrasi besar di London minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri UK, Yvette Cooper, mempertahankan pengharaman tersebut dengan menyatakan bahawa kumpulan itu bukan sekadar gerakan protes biasa, tetapi telah menjalankan “kempen eskalasi” yang melibatkan kerosakan harta dan ancaman keselamatan awam.
Rooney sebelum ini pernah menolak terjemahan novelnya ke dalam bahasa Ibrani sebagai tanda boikot terhadap dasar Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau juga menyeru kerajaan Ireland agar mengambil pendirian lebih tegas dalam mempertahankan hak rakyatnya yang ditahan kerana menyokong perjuangan Palestin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami