Wakil Illinois daripada Parti Demokrat, Janet Schakowsky mahu pentadbiran Barack Obama berhati-hati dalam membuat tuduhan Syria menggunakan senjata kimia bagi meredakan pemberontakan di republik Islam itu.

Schakowsky mengambil pengajaran daripada tuduhan Washington terhadap Iraq sebelum ini yang membawa kepada campur tangan Amerika Syarikat pada 2003.

Ketika itu, Iraq di bawah Saddam Hussein dituduh membangunkan senjata pemusnah besar-besaran.

Namun, selepas pentadbiran Saddam digulingkan, tuduhan terhadap Iraq itu didapati tidak benar.

Schakowsky mahu Obama menilai semua aspek sebelum membuat keputusan terhadap Syria.

Pada Jumaat, pemberontak Syria dan pembangkang mendesak masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap Presiden Bashar Assad yang dituduh menggunakan Gas Sarin bagi menamatkan pemberontakan.

Isu senjata kimia dibincangkan Jawatankuasa Perisikan Senat Amerika Syarikat yang mencetuskan pelbagai pandangan dengan ada yang menyokong dan ada yang mahu kerajaan berhati-hati dalam membuat keputusan.