Prospek damai Asia Barat kini cuba dihidupkan semula melalui lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Israel.

Rundingan damai Israel-Palestin tertangguh sejak sekian lama disebabkan keingkaran rejim Israel mematuhi beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada keamanan.

Antaranya, tindakan Israel yang membina petempatan haram di tanah milik Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Agenda Obama ke Israel nanti merangkumi lawatan ke Tebing Barat.

Obama juga akan melawat Jordan bagi tujuan yang sama.

Antara lainnya, lawatan itu turut membayangkan usaha Washington untuk menghidupkan semula damai di Asia Barat, terutamanya apabila ianya semakin kritikal apabila Iran masih diancam dengan isu nuklear.

Manakala, Syria masih bergolak dengan tiada tanda-tanda ianya akan berakhir.

Dua isu ini menjadi keutamaan Obama selepas menduduki Rumah Putih bagi penggal kedua.

Dalam pada itu, rangkaian televisyen Israel, Channel Ten melaporkan bahawa lawatan Obama akan menumpukan kepada memulakan semula usaha damai Israel dan Palestin.

Agenda lain antaranya meyakinkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu supaya menggantung sebarang serangan ke atas tapak nuklear Iran.

Lawatan kali ini turut dilihat sebagai usaha memulihkan hubungan Obama dengan Netanyahu yang sedikit tegang berikutan perbezaan pendapat termasuk dalam isu Palestin dan juga nuklear Iran.