DUNIA
Pakar PBB kecam serangan Israel ke atas sekolah di Gaza, Baitulmuqaddis

Hampir semua sekolah di Gaza rosak teruk akibat serangan, menyebabkan pendidikan terhenti lebih 19 bulan dan memberi kesan besar kepada kanak-kanak, terutama perempuan. -Gambar fail/Reuters
GENEVA: Sekumpulan 22 pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan terbaharu terhadap sekolah-sekolah UNRWA di Gaza serta serbuan dan penutupan paksa sekolah-sekolah UN di Baitulmuqaddis oleh pasukan pendudukan Israel.
Ringkasan AI
- Sekumpulan 22 pakar hak asasi manusia PBB mengutuk serangan terhadap sekolah UNRWA di Gaza dan Baitulmuqaddis oleh tentera Israel, menyifatkannya sebagai pelanggaran hak pendidikan dan undang-undang antarabangsa.
- Hampir semua sekolah di Gaza rosak teruk akibat serangan sejak Oktober 2023, menyebabkan pendidikan terhenti lebih 19 bulan dan memberi kesan besar kepada kanak-kanak, terutama perempuan.
- Tindakan Israel dianggap sebagai hukuman kolektif dan jenayah perang, dengan gesaan agar masyarakat antarabangsa bertindak melindungi hak pendidikan kanak-kanak Palestin dan menghukum pihak yang bertanggungjawab.
Hampir tiga perempat daripada bangunan sekolah di Gaza telah diserang sejak Oktober 2023, termasuk kira-kira satu pertiga sekolah UNRWA.
Penilaian satelit PBB mendapati 95 peratus sekolah di Gaza telah mengalami kerosakan, menjadikannya hampir tidak boleh digunakan.
"Pemusnahan ini menunjukkan kesan yang dahsyat dan berpanjangan terhadap generasi kanak-kanak Palestin dalam pembelajaran mereka.
"Pendidikan mereka telah terhenti lebih 19 bulan, dan apabila konflik berakhir, mereka tidak lagi mempunyai sekolah untuk kembali belajar.
"Kanak-kanak perempuan adalah golongan yang paling terjejas, dengan kesan jangka panjang terhadap pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan mereka yang sangat membimbangkan.
"Selain itu, semua kanak-kanak kini terdedah kepada pengusiran bersenjata, mengakibatkan trauma yang memerlukan sokongan psikososial selama bertahun-tahun, yang sukar diakses oleh mereka," tulis kenyataan itu.
Di Baitulmuqaddis Timur, pada 8 Mei, tentera Israel yang lengkap bersenjata menyerbu tiga sekolah UNRWA di kem pelarian Shu’fat ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung, mengusir lebih 550 kanak-kanak Palestin, termasuk yang berusia enam tahun, dari bilik darjah mereka secara paksa.
Seorang kakitangan UNRWA turut ditahan, dan menjelang penghujung hari, kesemua enam sekolah UNRWA di Baitulmuqaddis Timur telah dikosongkan.
"Israel tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan ini, lebih-lebih lagi apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menetapkan bahawa Israel mempunyai kewajipan untuk menghentikan pendudukannya.
"Sekolah dilindungi daripada serangan langsung oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya jika tiada sebarang pertempuran di kawasan tersebut yang boleh membenarkan pengosongan secara paksa," tulis kenyataan itu lagi.
Pakar-pakar turut menegaskan bahawa serangan terhadap kemudahan PBB seperti sekolah UNRWA adalah pencabulan terhadap kekebalan premis PBB dan melanggar hak pendidikan.
Mereka menambah bahawa serangan ke atas orang awam serta kemudahan awam dilarang sama sekali di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dikategorikan sebagai jenayah perang.
Dalam konteks semasa, tindakan ini juga boleh dianggap sebagai hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin.
Israel berdepan kewajipan untuk menamatkan pendudukannya di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa.
Rejim itu perlu menarik balik tenteranya, membongkar penempatan haram, memberikan pampasan penuh kepada mangsa Palestin serta memulihkan kemudahan bantuan dan pendidikan.
"Sebagai negara anggota PBB, Israel mesti menghormati undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
"Pendidikan tidak sepatutnya menjadi sasaran serangan. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak bagi memastikan hak kehidupan dan pendidikan kanak-kanak Palestin dilindungi serta menghukum pihak yang bertanggungjawab atas pelanggaran ini," tambah kenyataan itu.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami