ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Isnin menyifatkan perjanjian pertahanan Pakistan-Arab Saudi-Turkiye sebagai satu langkah ke arah keamanan serantau, sambil menegaskan bahawa perjanjian itu bersifat pertahanan sepenuhnya dan bertujuan menggalakkan keamanan, kestabilan serta kemajuan di rantau berkenaan, lapor Associated Press of Pakistan (APP).
Beliau berkata, perjanjian itu tidak bertujuan menyokong sebarang bentuk pencerobohan.
Shehbaz berkata, perjanjian berkenaan bukan sahaja penting bagi ketiga-tiga negara, malah turut mempunyai kepentingan kepada umat Islam secara lebih meluas.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet Persekutuan dan memberi taklimat mengenai perkembangan terkini, termasuk perjanjian pertahanan tiga hala yang dimeterai antara Pakistan, Arab Saudi dan Türkiye.
Shehbaz berkata, perjanjian itu ditandatangani di Makkah pada Jumaat oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan dan beliau sendiri bagi pihak negara masing-masing.
Beliau berkata, Pakistan dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan dua hala tahun lepas, manakala Pakistan dan Türkiye mempunyai kerjasama pertahanan sejak beberapa dekad lalu.
Shehbaz turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Ishaq Dar dan Ketua Turus Tentera Darat Fil Marsyal Syed Asim Munir atas usaha mereka, sambil berkata rundingan mengenai perjanjian itu telah berlangsung selama beberapa tahun sebelum dimuktamadkan.
-- BERNAMA-APP