Skip to main content

Dunia

Pakistan berusaha sedaya upaya bawa AS, Iran kembali ke meja rundingan

Tahir Andrabi
Jurucakap Kementerian Luar Tahir Andrabi berkata, Islamabad akan terus menyokong dialog dan diplomasi sebagai “satu-satunya jalan penyelesaian yang berdaya maju”. - MOFA Pakistan
Advertisement

ISTANBUL: Pakistan pada Khamis berkata negara itu sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali ke meja rundingan berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) Islamabad yang dimeterai bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Kementerian Luar Tahir Andrabi berkata rundingan antara “pihak-pihak” sedang berlangsung bagi memulihkan keadaan, khususnya di Selat Hormuz.

Beliau berkata Islamabad akan terus menyokong dialog dan diplomasi sebagai “satu-satunya jalan penyelesaian yang berdaya maju”.

“Kami mengalu-alukan semua usaha untuk mengekalkan penghentian permusuhan dan menyambung semula dialog antara Iran dengan AS,” katanya kepada pemberita.

Andrabi berkata Pakistan sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa kedua-dua pihak kembali mematuhi MoU Islamabad supaya segala isu yang mencetuskan ketegangan dapat diselesaikan selaras dengan semangat perjanjian itu serta kenyataan bersama Pakistan-Qatar pada 22 Jun.

“Pakistan memandang serius situasi keselamatan di Asia Barat yang “masih rapuh meskipun ketenangan relatif sejak beberapa hari lepas kembali membangkitkan harapan,” kata beliau.

Andrabi turut menggesa Washington dan Tehran supaya mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta mematuhi sepenuhnya komitmen untuk menyambung semula rundingan di peringkat teknikal, selaras dengan MoU Islamabad dan kenyataan bersama Pakistan-Qatar.

AS dan Iran mencapai persetujuan gencatan senjata pada April sebelum memeterai MoU Islamabad di Switzerland.

Bagaimanapun, ketegangan terbaharu menimbulkan keraguan terhadap masa depan perjanjian berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement