Skip to main content

Dunia

Pakistan desak AS, Iran sambung semula rundingan meskipun ketidakpercayaan berterusan

Sumber: Adobe Stock
Pakistan mempunyai saluran komunikasi terbuka dengan Iran dan AS, termasuk pada peringkat tertinggi.
Advertisement

ISTANBUL: Pakistan menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali ke meja rundingan di bawah perjanjian yang dimeterai menerusi pengantaraan Islamabad, meskipun “rasa tidak percaya masih berterusan antara kedua-dua pihak” sehingga menghalang pelaksanaan perjanjian itu, menurut Wakil Tetap Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan Asim Iftikhar Ahmad membuat kenyataan itu dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Khamis oleh The National, akhbar harian berbahasa Inggeris yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Memorandum Islamabad yang ditandatangani pada Jun lepas susulan usaha pengantaraan Pakistan dan Qatar menggesa supaya permusuhan dihentikan, tempoh 60 hari untuk merundingkan penamatan kekal konflik serta pengaturan bagi membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial.

Iran menuduh AS gagal melaksanakan peruntukan utama, termasuk yang berkaitan dengan sekatan dan sekatan laut oleh AS. Sementara itu, Washington dan negara-negara Teluk menggesa kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.

Ahmad berkata terdapat juga “sedikit kurang kesediaan” untuk melaksanakan memorandum itu, namun Pakistan “terus berusaha”.

Menurut beliau, Pakistan mempunyai saluran komunikasi terbuka dengan Iran dan AS, termasuk pada peringkat tertinggi.

"Kami percaya bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan situasi ini dan mencapai satu perjanjian yang menyeluruh serta muktamad adalah dengan kembali ke meja rundingan, dan untuk itu kami mempunyai kerangka menerusi Memorandum Persefahaman Islamabad.

"Segala-galanya sudah tersedia. Mereka perlu kembali ... dan saya berharap mereka akan menyedari perkara ini tidak lama lagi," katanya.

Ketika ditanya pihak mana yang keberatan untuk menyambung semula rundingan, Ahmad berkata "ia tidak semudah itu" untuk menentukan pihak yang lebih bertanggungjawab atau tidak bersedia kembali ke meja rundingan.

Bagaimanapun, beliau berharap kedua-dua pihak dapat kembali berunding meskipun berdepan kesukaran.

"Jika kami berjaya melakukannya sebelum ini, jika kami berjaya mendapatkan pengumuman gencatan senjata pada April ketika pertempuran sengit dan ketegangan terus meningkat, kemudian kami berjaya mempertemukan mereka dan seterusnya, anda tahu, memimpin kedua-dua pihak kepada memorandum persefahaman ini, tiada sebab mengapa kami tidak boleh sekali lagi membawa mereka kembali ke meja rundingan," katanya.

Ahmad berkata Pakistan kekal yakin bahawa rundingan baharu merupakan satu-satunya jalan mampan untuk menamatkan konfrontasi itu.

Mengenai Gaza, diplomat itu memberi amaran bahawa dasar Israel di Tebing Barat yang diduduki mengancam prospek penubuhan sebuah negara Palestin pada masa hadapan, sambil menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa perlu mengambil pendirian yang lebih tegas.

"Pelan Gaza tidak dilaksanakan sepenuhnya. Sebagai permulaan, perkara pertama ialah gencatan senjata dan gencatan senjata itu tidak dihormati," katanya.

"Anda dapat melihat pelanggaran terus berlaku, khususnya oleh pihak Israel, dan ratusan orang terkorban di Gaza sejak gencatan senjata diumumkan."

Ahmad turut dilantik sebagai Setiausaha Luar Pakistan ke-34 pada Khamis, menggantikan Amna Baloch.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement