HYDERABAD: Tiga warga Pakistan antara lima anak kapal yang maut dalam operasi membebaskan sebuah kapal tangki minyak berbendera Palau di luar pantai Somalia, menurut Kementerian Luar Pakistan pada Rabu.
Tiga lagi warga Pakistan cedera.
“Yang cedera dibawa ke hospital berhampiran dan sedang menerima rawatan perubatan.
“Anak kapal yang terselamat dari MT Honour 25 dibawa ke darat dengan selamat di Bandar Beyla,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kapal tangki berkenaan dirampas pada April, kira-kira 30 batu nautika dari pantai Puntland ketika membawa 18,500 tong minyak menuju ke Mogadishu.
Pada Selasa, media melaporkan bahawa lanun membunuh lima anak kapal, termasuk seorang warga India dan seorang warga Myanmar, sebelum pasukan keselamatan berjaya merampas semula kapal MT Honour 25.
-- BERNAMA