DUNIA
Palestin hargai usaha damai Trump, sahkan kesediaan bekerjasama dengan AS akhiri perang Gaza

Palestin menyambut baik pelan 20 perkara oleh Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin. -Gambar fail/EPA
ISTANBUL: Palestin mengalu-alukan usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang yang sedang berlaku di Gaza, sambil menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan Washington dan pihak berkaitan bagi mencapai keamanan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Ringkasan AI
- Palestin menyambut baik pelan 20 perkara oleh Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin.
- Kenyataan pejabat presiden Palestin menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan AS dan pihak berkaitan bagi mencapai perdamaian serta memastikan penghantaran bantuan, perlindungan rakyat dan pengunduran Israel dari Gaza.
- Serangan Israel sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 66,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencetuskan krisis kemanusiaan dan kebuluran.
"Negara Palestin menyambut baik usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh Presiden Donald J. Trump untuk menamatkan perang di Gaza dan mengesahkan keyakinannya terhadap kemampuan beliau mencari jalan ke arah perdamaian," menurut kenyataan pejabat presiden yang dipetik agensi berita rasmi WAFA.
Kenyataan itu menekankan kepentingan kerjasama dengan Washington dalam mencapai keamanan serantau, serta memperbaharui "komitmen bersama untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat, negara-negara serantau dan rakan kongsi bagi menamatkan perang di Gaza melalui perjanjian komprehensif."
Menurut kenyataan itu lagi, perjanjian komprehensif diperlukan bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan mencukupi ke Gaza, pembebasan tawanan Israel dan tahanan Palestin, penubuhan mekanisme untuk melindungi rakyat Palestin, serta pengunduran penuh Israel dari Semenanjung Gaza.
"Langkah ini juga akan memastikan penyatuan tanah dan institusi Palestin di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, menamatkan pendudukan dan membuka laluan ke arah perdamaian adil berasaskan penyelesaian dua negara, dengan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat hidup berdampingan dengan Israel dalam suasana selamat, aman dan kejiranan baik, selaras dengan keabsahan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Tentera Israel dilaporkan membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023.
Serangan berterusan itu menjadikan wilayah itu tidak lagi layak didiami serta mencetuskan kebuluran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami