RAMALLAH: Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pada Isnin mengecam pembakaran sebahagian bangunan sebuah masjid di bandar Nablus, Tebing Barat oleh peneroka haram Israel sebagai satu jenayah yang mencerminkan “keganasan jentera hasutan perkauman Israel”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kumpulan ini menyerang tapak suci Islam dan harta benda rakyat setiap hari, dengan peningkatan yang sistematik dari segi kekerapan dan bentuk serangan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Advertisement
Menurutnya, sebanyak 45 masjid diserang oleh peneroka haram, di bawah perlindungan tentera Israel, tahun lepas.
Menurut saksi, peneroka haram menyerbu pekan Tal, barat Nablus, awal pagi Isnin dan membakar sebahagian daripada Masjid Abu Bakr Al-Siddiq.
Pintu masuk dan bahagian hadapan masjid rosak, manakala peneroka menyembur cat slogan berunsur perkauman pada dinding luar, termasuk nama kumpulan “Price Tag.”
“Price Tag” ialah kumpulan berhaluan kanan yang ditubuhkan pada Julai 2008, bertujuan merampas tanah yang diduduki, melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan menghalang mereka daripada menentang pendudukan Israel yang berlarutan sejak beberapa dekad lepas.
Pembakaran sebahagian Masjid Abu Bakr Al-Siddiq itu “jelas menunjukkan tahap keganasan yang dicapai oleh jentera hasutan perkauman Israel terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Palestin,” menurut kementerian itu, sambil menyifatkannya sebagai “serangan terang-terangan terhadap umat Islam dan sentimen mereka.”
“Serangan berulang terhadap tapak suci, termasuk arson, penutupan dan menghalang azan hanya bukti keganasan melampau yang menjadi amalan pihak pendudukan,” katanya.
Jenayah ini melampaui semua undang-undang agama dan peraturan antarabangsa yang menjamin kebebasan beribadah dan pembinaan rumah ibadat,” menurut kementerian itu.
Kira-kira 770,000 peneroka haram Israel tinggal di ratusan penempatan dan pos luar di Tebing Barat yang diduduki, termasuk 250,000 di Baitulmuqaddis Timur dan melakukan serangan harian terhadap rakyat Palestin dengan tujuan mengusir mereka secara paksa.
Sejak bermulanya serangan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, tentera Israel dan peneroka haram memperhebat serangan di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
Rakyat Palestin melihat peningkatan itu termasuk pembunuhan, penangkapan, pemindahan paksa dan peluasan penempatan sebagai langkah ke arah pengilhakan rasmi wilayah yang diduduki.
Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,117 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis Timur terkorban dan kira-kira 11,500 orang cedera serta kira-kira 22,000 yang lain ditahan ekoran serangan tentera Israel dan peneroka haram.
Dalam satu keputusan penting pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menggesa pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
-- BERNAMA-ANADOLU