WASHINGTON: Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) terbaharu yang dilihat berselisih dengan Benjamin Netanyahu, selepas dilaporkan bertelagah dengan Perdana Menteri Israel itu berhubung tindakan ketenteraan di Lubnan yang menggugat diplomasi Washington dengan Iran.
Tehran bertindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan dengan mengancam untuk menggantung rundingan dengan AS – satu perkembangan yang boleh menjejaskan usaha Trump untuk mengakhiri konflik tidak popular dengan Iran.
Trump ditanya oleh seorang wartawan mengenai laporan Axios yang mendakwa beliau menggelar Netanyahu sebagai “gila” serta menuduhnya tidak mengenang budi dalam satu perbualan telefon pada Isnin.
“Saya memang kata begitu,” kata Trump dalam podcast Pod Force One yang disiarkan pada Rabu.
“Saya tidaklah marah. Saya cuma sedikit terganggu dengan tindakannya yang berterusan berperang dengan Lubnan.”
Trump bagaimanapun menambah: “Saya sangat sukakan Bibi (panggilan buat Netanyahu). Dan saya bekerjasama dengan baik dengannya.”
Trump bukan satu-satunya Presiden AS yang pernah berdepan ketegangan dengan Netanyahu.
Perdana menteri Israel itu mempunyai rekod panjang menguji kesabaran White House selain sering berjaya mengharungi implikasi politik yang timbul.
Pertikaian terbaharu ini berlaku ketika Trump mempertimbangkan satu perjanjian yang akan melanjutkan gencatan senjata AS-Iran dan membuka ruang rundingan mengenai masa depan program nuklear Tehran.
Pada masa sama, aspek penting lain seperti pembukaan semula Selat Hormuz – laluan perkapalan global yang kritikal – turut menjadi pertaruhan.
Netanyahu pula menolak andaian bahawa hubungan mereka tegang.
“Kadang-kadang, seperti dalam keluarga yang terbaik, kita ada perbezaan taktikal,” katanya kepada CNBC.
“Kita sentiasa mencari jalan penyelesaian, dan kita melakukannya sebagai sahabat baik.”
Beliau menambah, kedua-dua pihak boleh “tidak sependapat pada waktu pagi” tetapi mencapai persetujuan menjelang petang.
Namun, pakar memberi amaran bahawa perbualan tersebut mencerminkan kekecewaan di pihak White House terhadap keselarasan matlamat ketenteraan dan politik antara AS dan Israel, hampir 100 hari selepas kedua-duanya melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran pada 28 Februari.
“Netanyahu mempunyai sejarah panjang bertindak mengikut cara sendiri, tanpa menghiraukan apa yang disampaikan oleh Washington,” kata bekas diplomat AS, Brett Bruen.
“Trump membuat keputusan untuk bersama dalam konflik ini dan kini beliau sedang belajar bahawa berperang bersama pemimpin yang sukar dijangka boleh membawa risiko apabila agenda mereka tidak selari.”
Secara asasnya, Trump dan Netanyahu sehaluan dalam matlamat utama AS iaitu menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
Namun, di Lubnan, kepentingan mereka sedikit berbeza apabila Israel berikrar untuk terus menyasarkan Hezbollah yang disokong Iran, walaupun rundingan AS-Iran masih berlangsung.
Iran pula menegaskan bahawa sebarang gencatan senjata perlu melibatkan Lubnan.
Isu ini timbul ketika semakin ramai rakyat AS mengkritik sokongan berterusan Washington terhadap Israel.
Satu tinjauan Pew Research pada April mendapati 60 peratus rakyat AS kini mempunyai pandangan negatif terhadap Israel, meningkat berbanding 42 peratus sebelum tercetusnya perang dengan Hamas pada 2023.
Beberapa tokoh konservatif berpengaruh turut secara terbuka mengkritik apa yang dianggap sebagai peranan Israel dalam mendorong Trump ke arah konflik dengan Iran, dakwaan yang dinafikan oleh White House dan Netanyahu.
Antara pengkritik ialah Joe Kent, bekas ketua Pusat Counterterrorism Kebangsaan, yang meletak jawatan pada Mac dengan alasan percaya “perang ini bermula akibat tekanan daripada Israel dan lobi kuatnya di Amerika.”
Kumpulan pelobi pro-Israel, American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menuduh Kent menyebarkan naratif antisemitisme.
Dalam suasana politik ini, sesetengah pemerhati melihat Trump mungkin perlu menunjukkan perbezaan pendirian dengan Netanyahu bagi meredakan kritikan dalam negara.
“Terdapat keperluan politik untuk mewujudkan jarak antara AS dan Israel,” kata Bruen.
“Sama ada di Lubnan atau Gaza, terdapat tindakan Netanyahu yang boleh menimbulkan masalah politik, termasuk kepada Trump atau Parti Republikan.”
Beberapa Presiden AS sebelum ini juga pernah berdepan ketegangan dengan Netanyahu.
Beliau pernah bertelagah dengan Bill Clinton berhubung pelaksanaan perjanjian damai Oslo, selain mempunyai hubungan sukar dengan Barack Obama - terutamanya selepas ucapan di Kongres pada Mac 2015 mengenai dasar Iran yang diadakan tanpa pengetahuan White House.
Hubungannya dengan Joe Biden turut dilihat meruncing selepas menuduh AS menyekat penghantaran senjata - kenyataan yang disifatkan pegawai White House sebagai “menyusahkan” dan “mengecewakan.”
“Beliau mempunyai hubungan yang sangat tegang dengan Presiden AS,” kata pakar hubungan AS-Israel, Natan Sacks.
“Netanyahu adalah perunding yang sukar - bukan sahaja tegas, tetapi juga amat berhati-hati dan curiga.”
Trump sendiri sebelum ini pernah meluahkan kekecewaan terhadap Netanyahu, termasuk menggunakan kata-kata kesat di hadapan media tahun lalu susulan serangan Israel ke atas Iran yang menjejaskan gencatan senjata rapuh selepas konflik singkat 12 hari.
Namun secara keseluruhan, hubungan mereka masih dianggap positif, dengan Netanyahu berulang kali menyifatkan Trump sebagai “sahabat terbaik Israel” dalam sejarah AS.
“Trump memberi ruang untuk pendekatan baharu dalam urusan Asia Barat,” kata Sacks.
“Itu sesuatu yang mudah diterima Netanyahu, yang mahu mengubah peraturan sedia ada dan meningkatkan kesediaan AS-Israel untuk berdepan paksi Iran secara ketenteraan.”
Sama ada perbezaan terbaharu ini akan menjejaskan hubungan rapat kedua-duanya dalam jangka panjang masih belum jelas.
“Ia mungkin signifikan, tetapi kita belum tahu sama ada ia hanya insiden sekali atau petanda kepada perkembangan lebih besar,” kata Sacks.
“Saya tidak menolak kemungkinan itu. Presiden sebelum ini juga sering mengubah pendirian terhadap individu tertentu.” - Agensi