ISTANBUL: Dewan Perwakilan Mesir meluluskan pada Isnin permohonan Presiden Abdel Fattah El-Sisi bagi menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan parlimen.
Kelulusan itu menyusuli perbincangan secara tertutup mengenai pemberian kebenaran sokongan ketenteraan kepada negara beraja berkenaan, termasuk kemungkinan mengerahkan pasukan tentera, di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meruncing.
Parlimen memaklumkan bahawa kebenaran itu, yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga, memberi kuasa kepada El-Sisi untuk mengambil tindakan sewajarnya melalui penyelarasan bersama Arab Saudi bagi mempertahankan wilayah, kedaulatan dan tempat suci negara berkenaan.
Keputusan itu dicapai selepas beberapa siri sesi tertutup yang diadakan pada 18, 19 dan 26 Okt atas permohonan presiden, menurut kenyataan itu.
Ahli Parlimen turut membincangkan perkembangan serantau dan implikasinya terhadap keselamatan negara Mesir serta keselamatan bersama negara Arab, dengan penyertaan wakil pelbagai parti politik dan Ahli Parlimen Bebas.
Parlimen menyatakan kebenaran berkenaan selaras dengan keputusan yang diambil oleh Majlis Pertahanan Nasional Mesir dalam mesyuaratnya pada 18 Okt lepas.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan langkah yang akan diambil atau mengumumkan secara jelas mengenai pengerahan tentera Mesir.
Terdahulu pada Isnin, Ahli Parlimen menyambung semula perbincangan dalam sesi tertutup ketiga yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Parlimen Hisham Badawi, susulan dua mesyuarat yang diadakan minggu lepas atas permintaan El-Sisi.
Kelulusan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan permusuhan antara Kumpulan Houthi dan gabungan pimpinan Arab Saudi, penyokong Kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini melaporkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan beberapa kawasan di negara berkenaan, termasuk Riyadh serta wilayah selatan berhampiran sempadan Yaman.
-- BERNAMA-ANADOLU