MOSCOW: Parti pemerintah Rusia, United Russia yang diketuai Presiden Vladimir Putin, meraih kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen negara itu dengan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi, menurut hampir keseluruhan keputusan rasmi yang diumumkan pada Isnin.
Dengan lebih 58 peratus undi diraih, United Russia, yang telah mendominasi landskap politik Russia selama 25 tahun, berada di landasan untuk menguasai lebih tiga perempat kerusi di Dewan Duma, dewan rendah parlimen negara itu.
Pilihan raya tersebut merupakan undian parlimen pertama sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 2022 dan turut melibatkan penduduk di empat wilayah Ukraine yang dikuasai dan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Russia pada tahun yang sama.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Ella Pamfilova, berkata parti Yabloko yang dikenali sebagai satu-satunya parti berdaftar yang secara terbuka menentang perang di Ukraine gagal memenangi sebarang kerusi di peringkat nasional.
Yabloko sebelum ini disingkirkan daripada senarai pertandingan oleh Mahkamah Agung Rusia dan hanya bertanding menerusi beberapa calon di kawasan tertentu.
Parti Komunis Rusia pula memperoleh 13.8 peratus undi, sekali gus menguasai 40 kerusi Duma. Parti nasionalis LDPR memenangi 25 kerusi manakala parti New People memperoleh 20 kerusi.
Kadar keluar mengundi dilaporkan menghampiri 60 peratus, sesuatu yang menurut pemerhati dilihat bakal ditafsirkan Moscow sebagai sokongan rakyat terhadap dasar kerajaan termasuk operasi ketenteraan di Ukraine.
Bagaimanapun, Yabloko dan Parti Komunis mendakwa ramai pemerhati mereka tidak dibenarkan memasuki pusat pengundian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses pilihan raya.
Rusia juga tidak menjemput pemerhati daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), tindakan yang dikritik beberapa pihak antarabangsa.
Di Moscow, ramai pengundi dilaporkan tidak terkejut dengan keputusan tersebut.
Seorang penduduk, Tatyana, berkata kemenangan United Russia sudah dijangka, namun berharap konflik di Ukraine dapat ditamatkan melalui kaedah aman secepat mungkin.
Penganalisis politik dari Carnegie Russia Eurasia Center, Tatyana Stanovaya, berkata Kremlin berkemungkinan mentafsir keputusan itu sebagai bukti sokongan rakyat terhadap perang, walaupun sentimen untuk menamatkan konflik dilihat semakin meningkat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kemenangan besar parti pemerintah mungkin membuka ruang kepada langkah baharu yang lebih tegas, termasuk mobilisasi tambahan dan tindakan keselamatan yang lebih ketat.
Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai proses yang memberi gambaran demokrasi semata-mata selepas pembangkang disekat dan pemerhati antarabangsa tidak dibenarkan memantau pengundian.
Dalam kenyataan bersama, Australia, Britain, Kanada dan beberapa negara lain turut mengecam pilihan raya yang diadakan di wilayah Ukraine yang diduduki Rusia, dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan penguasaan Moscow di kawasan berkenaan.