Skip to main content

Malaysia

MTL: 35 daripada 45 bot JBPM Kelantan berada dalam keadaan baik - Pengarah

Farhan Sufyan berkata bot merupakan antara aset penting dalam operasi menyelamat mangsa banjir, terutama di kawasan yang dinaiki air dan tidak boleh diakses menggunakan kenderaan darat. - Gambar fail/Bernama
Farhan Sufyan berkata bot merupakan antara aset penting dalam operasi menyelamat mangsa banjir, terutama di kawasan yang dinaiki air dan tidak boleh diakses menggunakan kenderaan darat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Sebanyak 35 daripada keseluruhan 45 bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027, kata Pengarahnya Farhan Sufyan Borhan.

Beliau berkata baki 10 bot berada dalam keadaan kurang baik, namun pemeriksaan dan pengujian aset dilaksanakan, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan jentera penyelamat air itu.

Farhan Sufyan berkata pengujian yang dijalankan juga bertujuan memastikan bot yang boleh digunakan ketika ini terus berada dalam keadaan baik, serta mengenal pasti aset yang berpotensi dipulihkan.

Advertisement

“Secara keseluruhan kita ada 45 buah bot, yang mana 10 buah bot dalam keadaan kurang baik dan ada 35 boleh berfungsi buat masa ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Farhan Sufyan berkata bot merupakan antara aset penting dalam operasi menyelamat mangsa banjir, terutama di kawasan yang dinaiki air dan tidak boleh diakses menggunakan kenderaan darat.

Advertisement

Beliau berkata bagaimanapun, keperluan aset JBPM bukan hanya tertumpu kepada bot kerana kenderaan pengangkutan turut memainkan peranan penting, dalam membawa mangsa serta menyalurkan bekalan makanan dan bantuan ke kawasan terjejas.

“JBPM Kelantan akan terus memastikan aset sedia ada berada dalam keadaan siap siaga, bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang musim MTL,” katanya.

Dalam pada itu, JBPM negeri memerlukan tambahan lori dan kenderaan pacuan empat roda bagi memperkukuh keupayaan logistik operasi menyelamat serta penghantaran bantuan ketika banjir.

Farhan Sufyan berkata ketika ini jabatan itu mempunyai lapan lori berkapasiti tiga dan lima tan serta 30 kenderaan pacuan empat roda yang ditempatkan di 22 balai bomba di seluruh negeri.

“Lori dan kenderaan pacuan empat roda diperlukan bukan sahaja untuk membawa mangsa, malah bagi mengangkut bekalan makanan serta bantuan lain ke kawasan yang terjejas dan keperluan tambahan untuk lori dan juga pacuan empat roda itu yang paling penting. Bot banyak, bukan sahaja bomba ada bot, agensi lain pun ada bot,” katanya.

Farhan Sufyan berkata keupayaan menggerakkan bekalan bantuan melalui laluan darat amat penting terutama apabila operasi menyelamat melibatkan kawasan yang luas dan memerlukan sokongan logistik berterusan.

Beliau berkata penambahan aset pengangkutan dapat membantu meningkatkan kecekapan operasi JBPM, sekiranya Kelantan berdepan banjir besar.

Ahad lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Sabah dan seluruh Terengganu hingga esok.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat di Kelantan ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli.

Susulan amaran itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sembilan jajahan di Kelantan berkemungkinan dilanda banjir dalam tempoh yang sama.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement