Parti haluan tengah-kiri Jerman, Parti Sosial Demokrat (SDP) meluluskan usul untuk mengadakan rundingan bagi menubuhkan kerajaan campuran dengan parti pimpinan Canselor Jerman, Angela Merkel, Parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU).

Sejumlah 362 anggota parti SDP mengundi menyokong rundingan berbanding 279 menolak dalam mesyuarat parti yang diadakan pada Ahad di Bonn.

Keputusan dibuat selepas SDP dan CDU mencapai persetujuan awal terhadap pelan dasar untuk mengadakan rundingan rasmi bagi penubuhan kerajaan campuran awal bulan ini.

CDU memutuskan untuk mengadakan rundingan dengan SDP, selepas gagal capai keputusan dengan sekutunya, Kesatuan Sosial Kristian, Bavarian CSU untuk menubuhkan kerajaan sejak pilihan raya September lalu.

SPD sebelum ini enggan berunding dengan CDU, selagi Merkel berkuasa.

Namun pemimpinnya Martin Schulz berubah fikiran selepas CDU gagal tubuhkan kerajaan dengan mana-mana parti politik lain.

Ini adalah rundingan menubuhkan kerajaan paling lama pasca pilihan raya.

SPD sebelum ini pernah memerintah bersama CDU selama lapan tahun, namun selepas kekalahan terburuk dalam pilihan raya, Schulz bertegas mahu menyertai pembangkang.

Sementara itu keputusan SPD berunding untuk tubuh kerajaan dengan CDU disifatkan sesuatu yang positif.

Merkel menegaskan isu ekonomi bakal mendominasi rundingan penubuhan kerajaan campuran itu.