Skip to main content

Dunia

Pasaran insurans pusat data global dijangka lebih daripada berganda menjelang 2030

61728017074_pusatdata.jpg
Analisis terhadap data tuntutan insurans berkaitan pusat data menunjukkan kebakaran merupakan punca utama kerugian insurans pusat data. - Gambar hiasan
Advertisement

SINGAPURA: Pasaran insurans pusat data global dijangka meningkat lebih dua kali ganda daripada kira-kira AS$11 bilion (AS$1=RM4.08) kepada lebih AS$24 bilion menjelang 2030 berikutan peningkatan risiko yang berpunca daripada kerumitan operasi, menurut Allianz Commercial.

Dalam laporan terbaharunya bertajuk “The Data Centre Construction Boom: Risks and Claims Trends”,  Allianz Commercial berkata, pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan nilai yang diinsuranskan serta risiko yang semakin meningkat dalam sektor berkenaan, termasuk kebakaran dan bencana alam yang mengakibatkan kerugian besar.

Analisis terhadap data tuntutan insurans berkaitan pusat data menunjukkan kebakaran merupakan punca utama kerugian insurans pusat data, merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah kerugian bernilai kira-kira AS$800 juta.

Aktiviti bencana alam merupakan penyumbang kedua terbesar kepada kerugian, diikuti perbuatan disengajakan termasuk jenayah dan insiden siber, serta gangguan bekalan elektrik.

Laporan itu turut menunjukkan kerosakan akibat air merupakan punca tuntutan yang paling kerap, manakala gangguan perniagaan memberikan kesan kewangan paling besar.

"Apabila pusat data memainkan peranan yang semakin kritikal sebagai infrastruktur, perlindungan insurans yang menyeluruh kini menjadi prasyarat untuk pembiayaan banyak projek infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar.

"Permintaan dijangka melangkaui perlindungan harta tradisional kepada penyelesaian bersepadu yang meliputi pembinaan, kejuruteraan, harta, gangguan perniagaan, siber dan liabiliti, di samping mewujudkan peluang baharu dalam bidang seperti daya tahan tenaga, kesinambungan operasi dan risiko teknologi," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Laporan itu mengunjurkan pelaburan tahunan dalam pusat data meningkat daripada kira-kira AS$500 bilion (AS$1=RM4.08) pada 2024 kepada lebih AS$1 trilion menjelang 2027.

Sementara itu, laporan berkenaan turut menekankan bahawa daya tahan terhadap perubahan iklim muncul sebagai isu utama dalam pembinaan pusat data kerana sebahagian besar kapasiti pusat data global terletak di kawasan berisiko tinggi dilanda bencana alam.

Kira-kira 79 peratus kapasiti pusat data global kini berada di kawasan yang terdedah kepada risiko bencana alam yang tinggi, manakala 54 peratus lagi terdedah kepada tekanan haba dan kemarau yang berpanjangan, menurut laporan itu.

"Beberapa pasaran infrastruktur AI yang berkembang paling pesat juga merupakan antara yang paling terdedah kepada risiko iklim, termasuk Virginia Utara di Amerika Syarikat (AS), Johor di Malaysia dan Marseille di Perancis.

"Risiko banjir, kebakaran hutan dan angin kencang paling tinggi direkodkan di benua Amerika, melibatkan 86 peratus kapasiti pusat data, manakala tekanan haba dan kemarau berpanjangan paling ketara di rantau Asia Pasifik, dengan 89 peratus kapasiti pusat data terdedah kepada risiko berkenaan," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement