Skip to main content

Malaysia

Kedutaan di Chile nasihat rakyat Malaysia elak perjalanan ke kawasan terjejas susulan tanah runtuh

Kenderaan ditenggelami air banjir lumpur susulan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di daerah Las Condes, Santiago, Chile, 8 Okt 2026. (Foto AP)
Kenderaan ditenggelami air banjir lumpur susulan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di daerah Las Condes, Santiago, Chile, 8 Okt 2026. (Foto AP)

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Chile menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan ke kawasan terjejas serta peka terhadap arahan pihak berkuasa susulan kejadian tanah runtuh di kawasan San Carlos de Apoquindo, Santiago, Chile pada Khamis (8 Okt).

Kedutaan dalam satu pemakluman turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah keselamatan dengan menjauhi kawasan cerun serta bersedia dengan keperluan asas sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat atau bantuan boleh menghubungi kedutaan menerusi WhatsApp di talian +56943490925 atau e-mel [email protected].

Dalam kenyataan berasingan kepada Bernama, kedutaan memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan susulan pengisytiharan Amaran Merah di beberapa kawasan di Wilayah Metropolitan Santiago akibat hujan lebat dan tanah runtuh.

Menurut kedutaan, setakat ini tiada seorang pun daripada 45 rakyat Malaysia di Chile yang berdaftar dengannya terjejas akibat bencana itu. Kedutaan terus berhubung rapat dengan mereka bagi berkongsi maklumat terkini serta pemakluman yang berkaitan, selain memantau keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Bagi pihak kedutaan, kebimbangan utama ketika ini ialah gangguan terhadap pergerakan dan keselamatan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke Wilayah Metropolitan.

“Pejabat Perwakilan Malaysia di Santiago (Malawakil Santiago) akan terus memantau perkembangan menerusi saluran rasmi Chile, khususnya Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (SENAPRED) serta pihak berkuasa tempatan berkaitan, selain menilai sama ada langkah berjaga-jaga atau pemakluman keselamatan tambahan diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kedutaan, kejadian tanah runtuh berskala besar dilaporkan berlaku di San Carlos de Apoquindo, sebuah kawasan kediaman di perbandaran Las Condes, timur Santiago pada Khamis (8 Okt), susulan hujan lebat dan ribut petir.

“Maklumat lanjut mengenai tahap kerosakan dan sebarang kemalangan jiwa masih tertakluk kepada pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, media Chile melaporkan SENAPRED mengisytiharkan Amaran Merah bagi 10 kawasan perbandaran di Wilayah Metropolitan Santiago, iaitu San Jose de Maipo, Puente Alto, Pirque, La Florida, Penalolen, La Reina, Las Condes, Lo Barnechea, Vitacura dan Colina.

Langkah itu diumumkan susulan peningkatan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya lebih banyak kejadian tanah runtuh dan aliran puing, khususnya di kawasan sepanjang kaki Banjaran Andes.

Dalam perkembangan berasingan, media tempatan melaporkan SENAPRED telah mengeluarkan arahan pemindahan bagi petempatan Campamento Ribera del Rio di Talagante, barat daya Santiago, susulan limpahan air Sungai Mapocho.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement