Ringkasan AI
- Pasaran modal Malaysia meningkat kepada RM4.5 trilion berbanding RM4.3 trilion tahun lalu, walaupun menghadapi ketidaktentuan pasaran.
- Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar dunia dan berhasrat menjadi hab serantau bagi syarikat serta pelabur di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030.
- Pejabat keluarga digalakkan menyokong PMKS melalui penyediaan modal jangka panjang, dengan platform seperti MyCIF telah mengumpul RM7.7 bilion untuk lebih 11,500 perniagaan.
KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia meningkat kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lepas, meskipun berdepan tempoh ketidaktentuan pasaran yang ketara, kata Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Shahrul Amry Abd Malek.
Beliau berkata keupayaan ekonomi untuk menghadapi cabaran bergantung pada kekuatan pasaran modal, sambil menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.
“Di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, kami berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi syarikat mendapatkan modal dan pelabur memilih untuk bertapak,” katanya pada Sidang Kemuncak Pejabat Keluarga Malaysia, bertemakan “Malaysia: Hab yang Semakin Berkembang bagi Modal Swasta”, anjuran SC di sini hari ini.
Menurut beliau, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia menyumbang hampir 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sekali gus menjadikannya antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi serta segmen yang menawarkan peluang pelaburan besar.
Bagaimanapun, dengan jurang pembiayaan bagi segmen itu dianggarkan sebanyak RM268 bilion, pejabat keluarga berpeluang memainkan peranan lebih besar dalam menyokong perkembangan PMKS dengan melengkapi sumber pembiayaan tradisional melalui penyediaan modal jangka panjang dan fleksibel kepada perniagaan berpotensi.
“Bagi pejabat keluarga, keadaan ini membuka peluang untuk mengambil bahagian secara langsung dalam kisah pertumbuhan Malaysia, di samping berusaha memperoleh pulangan menarik berdasarkan risiko melalui pelaburan dalam perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh,” kata Shahrul.
SC turut membangunkan saluran lain bagi menghubungkan modal dengan peluang pelaburan berkenaan.
“Melalui platform pelaburan bersama seperti MyCIF, dana awam telah membantu mengumpul RM7.7 bilion untuk lebih 11,500 perniagaan, dengan membuat pelaburan bersama pelabur swasta.
“Keluarga boleh mengambil bahagian secara langsung atau melalui modal teroka, ekuiti persendirian dan kredit persendirian, termasuk pilihan yang patuh Syariah,” katanya.
-- BERNAMA