DUNIA
Pasukan khas polis Jerman tangkap tiga suspek ekstremis haluan kanan

Tiga individu yang ditangkap itu disyaki menjadi anggota sebuah organisasi pengganas yang merancang untuk menggulingkan kerajaan Jerman dengan kekerasan. - Gambar fail
MUNICH: Pasukan khas polis Jerman menahan tiga individu yang disyaki ekstremis sayap kanan pada Khamis, dipercayai anggota kumpulan Reich Citizens (Reichsburger) yang diketuai Heinrich XIII Putera Reuss, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mereka disyaki menjadi anggota sebuah organisasi pengganas yang merancang untuk menggulingkan kerajaan Jerman dengan kekerasan, menurut Pejabat Jenayah Negeri Bavaria (LKA) dan Pejabat Pendakwa Raya Munich.
Menurut LKA, kira-kira 300 anggota polis terbabit dalam operasi pagi ini, dan serbuan dilakukan di tiga negeri di Jerman iaitu Bavaria, Saxony dan Thuringia.
Tiga suspek yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam sesi latihan menembak bersama penyokong kumpulan itu pada April 2022, menggunakan senjata api jarak dekat dan jauh di padang sasar bekas tentera Jerman berhampiran bandar Bayreuth, wilayah Upper Franconia di Bavaria.Secara keseluruhan, lima lelaki dan seorang wanita berumur antara 40 hingga 61 tahun sedang disiasat berhubung kes tersebut. Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas senjata serta peranti simpanan data, namun jenis senjata yang dirampas tidak diperincikan.
Gerakan Reichsburger percaya bahawa Republik Jerman moden telah secara tidak sah menggantikan Empayar Jerman atau Reich yang diasaskan pada 1871 dan berterusan di bawah rejim Nazi sehingga 1945. Mereka menolak legitimasi negara persekutuan moden Jerman dan undang-undangnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami