Pihak berkuasa Thailand merancang mengosongkan kawasan gua lokasi 12 remaja dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap, bagi memberi laluan kepada operasi menyelamat.

Pengumuman itu dibuat ketika pasukan penyelamat berperang dengan masa.

Ini kerana kawasan pergunungan sekitar kini diselubungi awan gelap, dan sekaligus meningkatkan risiko mereka yang terperangkap di dalam gua.

Remaja berkenaan, berusia antara 11 hingga 16 tahun, hilang bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun selepas latihan bola sepak 23 Jun lalu.

Mereka meneroka kompleks gua Tham Luang berdekatan taman negara yang bersempadan dengan Myanmar.

"Berdasarkan penilaian ketika ini, adalah penting untuk mengosongkan kawasan berkenaan sebelum operasi menyelamat dapat dijalankan.

"Mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan operasi menyelamat, diminta meninggalkan kawasan ini secepat mungkin.

"Berdasarkan jangkaan cuaca, hujan mungkin akan menjadi penghalang kepada penyelamat yang bergelut mengepam keluar air dari kompleks berkenaan," jelas Mae Sai, Komander Polis Komsan Sa-ardluan.

BACA: Hujan monsun mungkin lewatkan usaha menyelamat kanak-kanak dalam gua - Gabenor

Ramalan cuaca weather.com menjangkakan kawasan berkenaan bakal dilanda ribut pada Ahad dan Isnin dengan cuaca buruk dalam dua mingu lagi.

Bekas Gabenor Daerah, Narongsak Osottanakorn, memaklumkan waktu paling ideal untuk mengeluarkan mangsa adalah dalam tempoh dua ke tiga hari terdekat.