Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyelaraskan usaha bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Valerie Amos dan Pesuruhjaya EU bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Krisis Christos Stylianides merayu masyarakat antarabangsa supaya terus memberi bantuan kepada berjuta-juta penduduk negara ini yang amat terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar pada Jumaat, Amos dan Stylianides berkata: "Kami tersentuh dan mendapat semangat daripada usaha dan perpaduan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam operasi bantuan dan menyelamat.

"Kami masih bimbang dengan keperluan mendesak bagi tempat perlindungan kecemasan dan barangan perkhidmatan asas untuk mangsa gempa bumi," kata mereka.

PBB dan rakan sekutu telah merangka pelan tindakan kemanusiaan bersama bagi menyokong usaha-usaha diterajui kerajaan dalam menangani isu kritikal seperti menyediakan tempat berlindung, air dan sanitasi, kesihatan, makanan dan keperluan perlindungan bagi berjuta-juta mangsa yang terjejas, dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kesatuan Eropah akan terus menghulurkan bantuan dan memberi sokongan yang diperlukan untuk membantu negara ini ke arah pemulihan dan pembangunan. Adalah menjadi kewajipan kami untuk membantu para penduduk Nepal dan memastikan mereka tidak keseorangan ketika saat-saat ini," kata Stylianides.

Amos dan Stylianides kini berada di Nepal untuk menilai tahap kemusnahan dan dan keperluan bagi kerja-kerja bantuan.

Gempa bumi kuat menggegarkan Nepal pada 25 April lepas dengan mengorbankan lebih 5,200 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda bernilai berbilion-bilion dolar.

Menurut penilaian awal PBB, sekurang-kurangnya AS$415 juta diperlukan sebagai bantuan segera kepada para penduduk Nepal.