Skip to main content

Dunia

PBB rancang pemindahan lebih 11,000 pelaut di Selat Hormuz, AS beri amaran isu tol

U.S. Secretary of State Marco Rubio speaks to the media upon his arrival at Al Bateen Executive Airport to discuss the interim deal between the U.S. and Iran with Arab Gulf allies, in Abu Dhabi, United Arab Emirates, June 23, 2026. REUTERS/Eric Lee/Pool
Marco Rubio memberi amaran tegas bahawa tiada negara dibenarkan mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz. - Foto REUTERS
Advertisement

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) merancang operasi besar-besaran untuk memindahkan lebih 11,000 pelaut yang terkandas di Teluk berikutan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez, berkata operasi tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Iran, Oman, Amerika Syarikat (AS), negara-negara pesisir serantau serta industri perkapalan global.

Beliau menjelaskan bahawa jaminan keselamatan telah diperoleh dan keadaan pelayaran telah dinilai dengan teliti bagi memastikan operasi evakuasi dapat dijalankan dengan selamat.

“Operasi berskala besar ini merupakan langkah penting ke arah memulihkan keselamatan maritim dan menamatkan serangan terhadap kapal awam,” katanya.

Usaha pemindahan itu dibuat susulan perjanjian sementara yang ditandatangani minggu lalu bagi menamatkan konflik.

Namun, AS dan Iran masih berbeza pendirian mengenai butiran memorandum persefahaman (MoU), khususnya berkaitan pemeriksaan program nuklear Iran.

Presiden AS, Donald Trump, mendakwa Iran telah bersetuju sepenuhnya untuk membenarkan pemeriksaan nuklear pada tahap tertinggi oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Bagaimanapun, Iran menafikan perkara itu, dengan menyatakan tapak nuklear yang sebelum ini diserang tidak akan dibuka untuk pemeriksaan.

Ketegangan turut berlarutan dalam isu ketenteraan apabila Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, sekali lagi menegaskan bahawa negara itu tidak akan berunding mengenai keupayaan pertahanannya, termasuk peluru berpandu balistik.

Pendirian itu turut disokong oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang menyatakan isu tersebut tidak pernah dibincangkan dalam rundingan AS-Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberi amaran tegas bahawa tiada negara dibenarkan mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, yang disifatkannya sebagai laluan perairan antarabangsa.

“Ia adalah laluan antarabangsa. Tiada negara dibenar mengenakan sebarang bayaran atau caj,” katanya ketika memulakan lawatan ke rantau Teluk.

Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi perdagangan minyak dunia.

Sebelum ini, Iran dilaporkan mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal yang melaluinya, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara serantau dan pemain industri.

Sejak konflik meletus, Iran menutup selat tersebut sehingga menyebabkan harga minyak global melonjak melebihi AS$100 setong serta menjejaskan penghantaran tenaga dan barangan penting seperti baja.

Walaupun selat itu kini dibuka semula, jumlah kapal yang melaluinya masih rendah berbanding sebelum konflik.

Data terkini menunjukkan sekurang-kurangnya 172 kapal telah melalui laluan itu, namun ratusan kapal tangki masih menunggu untuk berlayar keluar.

Menurut IMO, dua laluan sementara akan digunakan dalam operasi pemindahan dan kapal yang terlibat akan dihubungi secara individu bagi arahan lanjut.

Laporan harian juga akan dikeluarkan bagi memantau bilangan kapal yang keluar dengan selamat.

Dominguez menyifatkan perjanjian damai itu sebagai perkembangan positif selepas tempoh sukar yang dilalui ribuan pelaut, di samping kesan besar terhadap ekonomi global.

Namun begitu, kejayaan usaha evakuasi ini bergantung kepada kestabilan Selat Hormuz dan komitmen semua pihak untuk memastikan laluan tersebut kekal terbuka dan selamat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement