Skip to main content

Dunia

Pegawai polis Toronto maut ditembak dalam serbuan berkait kes tembakan Konsulat AS

Police salute during a procession with the body of Toronto Police Const. Marc Pinizzotto, who was killed in the line of duty, at the Chief Coroner's office in Toronto, Thursday, June 11, 2026. (Sammy Kogan/The Canadian Press via AP)
Anggota polis memberi tabik hormat semasa perarakan membawa jenazah Konstabel Polis Toronto, Marc Pinizzotto, yang terkorban ketika menjalankan tugas, di pejabat Ketua Koroner di Toronto. - Foto AP

TORONTO: Seorang pegawai polis Toronto terbunuh dalam satu serbuan awal pagi Khamis yang dikaitkan dengan siasatan kes tembakan di luar Konsulat Amerika Syarikat (AS) di bandar itu pada Mac lalu.

Perkhidmatan Polis Toronto memaklumkan pegawai berkenaan ditembak ketika berlaku insiden berbalas tembakan di sebuah bangunan tinggi.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Toronto, Myron Demkiw, mengenal pasti pegawai terbabit sebagai Marc Pinizzotto, 43, yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan polis, termasuk lima tahun bersama Unit Tugas Kecemasan (Emergency Task Force).

“Ketika ini terdapat kesedihan yang amat mendalam dalam komuniti kami,” katanya dalam sidang media.

Menurut polis, Pinizzotto ditembak ketika melaksanakan waran geledah berisiko tinggi sebagai sebahagian daripada operasi bersepadu melibatkan lima serbuan di seluruh bandar.

Operasi itu berkait dengan siasatan terhadap beberapa kes tembakan, termasuk insiden pada Mac lalu di luar bangunan Konsulat AS di Toronto yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai “insiden keselamatan negara” oleh pihak berkuasa Kanada dan AS.

Dalam kejadian tersebut, dua suspek lelaki dilaporkan keluar dari sebuah kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah bangunan konsulat sebelum melarikan diri.

Tiada kecederaan dilaporkan ketika itu kerana bangunan tersebut mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

Polis memaklumkan seorang suspek turut ditembak dalam insiden berbalas tembakan itu dan kini berada di hospital dalam keadaan kritikal.

Suspek tersebut dikenali sebagai Nicholas Bennett, 19, dan dijangka berdepan pertuduhan membunuh berhubung kematian Pinizzotto.

Sementara itu, seorang lagi suspek, dikenali sebagai Zara Jabbi, 19, masih diburu dan dianggap bersenjata serta berbahaya.

“Kami meminta orang ramai yang ternampak suspek supaya segera menghubungi talian kecemasan 911,” kata Demkiw.

Kematian Pinizzotto turut mendapat reaksi daripada Duta Besar AS ke Kanada, Pete Hoekstra, yang menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar.

“Kami menzahirkan takziah dan doa kepada keluarga pegawai polis yang terkorban,” katanya ketika menghadiri persidangan perdagangan Kanada-AS di Toronto.

Beliau turut menegaskan bahawa kejadian itu mencerminkan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam penguatkuasaan undang-undang, serta risiko yang dihadapi dalam operasi keselamatan.

Presiden Persatuan Polis Toronto, Clayton Campbell, menyifatkan Pinizzotto sebagai seorang anggota yang sangat dihargai, manakala Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow, menyifatkan kejadian itu sebagai “berita yang amat memilukan” bagi bandar tersebut.

Insiden itu berlaku hanya sehari sebelum Toronto dijadualkan menjadi tuan rumah perlawanan pertama Piala Dunia FIFA 2026, di mana Kanada akan menentang Bosnia dan Herzegovina.

Walaupun pihak berkuasa tidak mengaitkan secara langsung insiden tersebut dengan keselamatan temasya global itu, kejadian berkenaan dijangka meningkatkan tahap kawalan keselamatan di bandar tersebut.

Kematian Pinizzotto sekali lagi menekankan risiko yang dihadapi anggota keselamatan dalam menjalankan tugas, khususnya dalam operasi melibatkan kes berprofil tinggi dan berkait keselamatan negara.
 

 

Must Watch Video

Advertisement