Skip to main content

Dunia

Pegawai tentera, 29 militan terbunuh dalam operasi keselamatan di Pakistan

61717998591_benderapakistan.jpg
Pasukan keselamatan melancarkan operasi di daerah Hangu pada Jumaat susulan laporan mengenai kehadiran militan, dengan sekurang-kurangnya tujuh militan terbunuh dalam insiden berbalas tembakan. - Foto fail
Advertisement

ISLAMABAD: Tentera Pakistan pada Sabtu memaklumkan bahawa 29 militan terbunuh dalam operasi keselamatan di seluruh negara sepanjang tiga hari lalu, manakala seorang kapten tentera maut dalam operasi berasaskan risikan di daerah Hangu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), pasukan keselamatan melancarkan operasi di daerah Hangu pada Jumaat susulan laporan mengenai kehadiran militan, dengan sekurang-kurangnya tujuh militan terbunuh dalam insiden berbalas tembakan.

Kapten Hamza Akram, 27, yang berasal dari daerah Narowal, maut ketika mengetuai anggotanya dalam usaha memburu kumpulan militan berkenaan, menurut pihak tentera.

Pihak tentera berkata senjata dan peluru turut dirampas daripada kumpulan militan itu, yang didakwa terbabit dalam serangan terhadap pasukan keselamatan, agensi penguat kuasa dan orang awam.

Operasi terbaharu itu menyusuli kematian 10 militan dalam dua pertempuran berasingan di Khyber Pakhtunkhwa pada Khamis.

Menurut tentera, lapan militan terbunuh ketika cuba menyerang pos keselamatan di Waziristan Selatan, manakala dua lagi terbunuh dalam satu operasi di daerah Dir, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Dalam perkembangan berasingan, pasukan keselamatan membunuh 12 militan dalam operasi di daerah Washuk dan Mastung di wilayah Balochistan di barat daya Pakistan pada Rabu dan Khamis.

Tentera memaklumkan bahawa enam militan terbunuh di Washuk dan enam lagi di Mastung, selain sebuah tempat persembunyian militan turut dimusnahkan di daerah berkenaan.

Pakistan menyaksikan peningkatan serangan militan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang menurut negara itu mempunyai kaitan dengan Tehreek-e-Taliban Pakistan yang berpangkalan di Afghanistan. Kabul bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement