Ringkasan AI
- Pekerja teknologi di Singapura memperoleh penengah gaji bulanan S$8,000 pada 2025, 60 peratus lebih tinggi daripada pekerja pemastautin lain.
- Ekonomi digital Singapura dijangka menyumbang 19.3 peratus kepada KDNK pada 2025, meningkat daripada 18.8 peratus tahun sebelumnya.
- Penggunaan kecerdasan buatan dalam PKS meningkat kepada 23.4 peratus, manakala dalam perusahaan besar tempatan meningkat kepada 70.4 peratus pada 2025.
SINGAPURA: Pekerja teknologi di Singapura memperoleh penengah gaji bulanan sebanyak S$8,000 pada 2025, 60 peratus lebih tinggi berbanding penengah gaji bulanan keseluruhan pekerja pemastautin, ketika ekonomi digital negara itu meningkat kepada S$144.1 bilion (S$1=RM3.19).
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menyatakan bahawa ekonomi digital menyumbang 19.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu pada 2025, meningkat daripada 18.8 peratus tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan stabil itu mencerminkan peranan teknologi digital yang terus membentuk perusahaan merentas pelbagai industri,” menurut IMDA dalam Laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2026 yang dikeluarkan pada Isnin.
Jumlah pekerjaan teknologi meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 222,200 pada 2025, mencerminkan pertumbuhan dalam kedua-dua sektor Maklumat dan Komunikasi (I&C) dan bukan Maklumat dan Komunikasi (bukan I&C), yang masing-masing berkembang 6.1 peratus kepada S$47.1 bilion dan 3.6 peratus kepada S$97 bilion.
“Pekerjaan teknologi juga terus menawarkan gaji yang tinggi, dengan penengah gaji bulanan bagi pekerja teknologi pemastautin sebanyak S$8,000 pada 2025, 60 peratus lebih tinggi berbanding penengah gaji bulanan keseluruhan pekerja pemastautin sebanyak S$5,000,” menurut IMDA.
IMDA turut memaklumkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat daripada 14.5 peratus kepada 23.4 peratus pada 2025, manakala penggunaannya dalam kalangan perusahaan besar tempatan meningkat daripada 62.5 peratus kepada 70.4 peratus.
Ketua Eksekutif IMDA Ng Cher Pong berkata ekonomi digital Singapura terus mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan apabila perusahaan dan pekerja menerima pakai penyelesaian baharu dalam usaha transformasi digital mereka.
-- BERNAMA