GAZA: Wakil Tinggi Gaza Board of Peace, Nikolay Mladenov, menegaskan bahawa pelaksanaan perjanjian pelucutan senjata dan peralihan pentadbiran awam di Gaza kini menjadi aspek paling penting selepas persetuan berkenaan dicapai hasil rundingan yang mengambil masa berbulan-bulan.
Menerusi hantaran di platform X, Mladenov berkata perjanjian itu dicapai selepas “berbulan-bulan rundingan yang amat sukar”, namun menegaskan bahawa apa yang berlaku selepas ini adalah lebih penting daripada persetujuan yang telah dimeterai.
Beliau menekankan bahawa proses pelaksanaan dan pengesahan pematuhan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan kejayaan perjanjian tersebut.
Menurutnya, pengunduran tentera Israel perlu berjalan seiring dengan proses pelucutan dan pelupusan senjata kumpulan bersenjata di Gaza.
Mladenov turut berkata Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza serta rakyat Palestin memerlukan sokongan politik dan praktikal bagi membolehkan mereka menentukan masa depan wilayah itu sendiri.
Today, agreement has been reached on the decommissioning of weapons and civilian transition in Gaza. It took months of very difficult negotiations to get here. There were several points when I did not believe we would make it... What the agreement says matters. What happens next…
— Nickolay E. MLADENOV (@nmladenov) July 31, 2026
Beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, selain mengucapkan terima kasih kepada AS, Mesir, Qatar, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas peranan mereka dalam memudah cara rundingan tersebut.
Mladenov turut menghargai sokongan berterusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menurutnya sentiasa memberi perhatian terhadap usaha pelaksanaan Resolusi 2803.
Menurut beliau, matlamat akhir perjanjian itu adalah untuk melihat Gaza dibangunkan semula, ditadbir oleh rakyat Palestin serta hidup dalam keadaan aman bersama Israel.
Pada masa sama, ia diharapkan dapat membuka ruang kepada penyelesaian politik yang lebih bermakna terhadap konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.
“Kerja itulah yang perlu diberi tumpuan sekarang,” katanya.
Perkembangan itu susulan pengumuman bahawa Hamas dan Israel mencapai persetuan yang merangkumi isu pelucutan senjata Hamas serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza.