KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia pada usia 84 tahun tengah hari tadi.
Beliau tiba di Musolla Taman Selatan, Presint 20, pada jam 4.50 petang untuk menyertai solat jenazah bersama ahli keluarga Allahyarham serta tetamu yang hadir.
Advertisement
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba pada jam 4 petang dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).
Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; Ketua Hakim Negara ke-14, Tun Md Raus Sharif; Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; bekas Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.
Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua di samping isterinya Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak, hari ini.
Tun Abdul Hamid menjawat sebagai Ketua Hakim Negara ke-11 dari 2007 hingga 2008 menggantikan Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.
Allahyarham sebelum itu dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 Sept 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya pada petang hari ini.