PIHAK sekolah di Amerika Syarikat diingatkan supaya mematuhi garis panduan kesihatan awam berhubung pemakaian pelitup muka di premis mereka.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata, sekolah di negeri masing-masing mempunyai hak dalam melaksanakan peraturan berkaitan.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Gabenor New Jersey bahawa mandat pelitup muka di semua sekolah di negeri itu ditarik balik awal bulan depan.

Pada Isnin, Gabenor Phil Murphy berkata, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di negeri itu akan berakhir pada 7 Mac tetapi sekolah di peringkat daerah masih boleh melaksanakannya jika mahu.

"Apa yang berlaku di New Jersey dan beberapa negeri lain ialah, mereka menarik balik keperluan itu.

"Mereka tidak menyukarkan sekolah, pentadbir sekolah, pegawai tempatan, tetapi mahu memastikan sekolah mereka selamat.

"Sekali lagi, nasihat kami kepada setiap sekolah di semua negeri ialah, patuhi garis panduan kesihatan awam.

"Pada ketika ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berpandangan, pelitup muka boleh melambatkan, mengurangkan penularan.

"Terdapat juga beberapa langkah mitigasi lain yang telah kami ambil, tetapi ia tetap mengikut panduan CDC.

"Ia sentiasa terpulang kepada sekolah tempatan untuk menentukan cara mereka melaksanakannya," kata Psaki.

Murphy menghadapi tekanan daripada Republikan dan beberapa ibu bapa yang mengadakan perhimpunan di White House, menuntut mandat itu ditamatkan.

Tetapi, beliau menerima sokongan berhubung pemakaian pelitup muka sehingga kini, dari Persatuan Pendidikan New Jersey, kesatuan guru terbesar di negeri itu.