Tindakan pantas dan berani pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof berjaya menangkap seorang pencuri selepas didapati cuba merompak seorang wanita warga emas di Stockholm.

Memetik laporan akhbar tempatan, Aftonbladet, Lindelof menahan suspek itu sehingga polis tiba ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Polis Sweden dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu menunggang basikal cuba meragut beg milik mangsa yang berusia 90-an pada pagi Isnin.

"Seorang lelaki yang berada di sekitarnya mangsa telah mengejar suspek dan berjaya menangkapnya sebelum diserahkan kepada pihak polis di lokasi kejadian," katanya.

Sehubungan itu, polis mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada saksi atas sumbangan dan tindakan pantas membantu memerangi jenayah.

Suspek kini ditahan dan dihadap ke mahkamah atas kesalahan kecurian dan dadah.