Skip to main content

Dunia

Pembangkang India ganggu sidang Parlimen, sokong protes pelajar dan tingkat tekanan terhadap Modi

Supporters of India's Cockroach Janata Party (CJP) form a human chain to control demonstrators during the ongoing protests, two days after thousands of protesters marched towards parliament demanding the resignation of Education Minister Dharmendra Pradhan over examination paper leaks, at Jantar Mantar in New Delhi, India, on Jul 22, 2026. (Photo: Reuters/Adnan Abidi)
Penyokong Cockroach Janata Party (CJP) India membentuk rantaian manusia bagi mengawal pergerakan penunjuk perasaan ketika protes berterusan di Jantar Mantar, New Delhi, India, pada Rabu. - Gambar Reuters
Advertisement

NEW DELHI: Ahli Parlimen pembangkang India mengganggu perjalanan sidang Parlimen pada Rabu sebagai tanda sokongan terhadap protes pelajar, sambil mengulangi tuntutan supaya Menteri Pendidikan meletakkan jawatan susulan kebocoran kertas peperiksaan yang mencetuskan kemarahan rakyat serta meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri Narendra Modi selepas beberapa hari ketidakstabilan.

Protes yang bermula bulan lalu susulan kebocoran kertas peperiksaan kemasukan ke sekolah perubatan melibatkan kira-kira dua juta pelajar itu semakin memuncak minggu ini apabila puluhan ribu golongan muda berhimpun di jalan-jalan sekitar New Delhi pada Isnin. 

Polis dilaporkan menggunakan gas pemedih mata dan belantan bagi menyuraikan peserta demonstrasi.

Gelombang protes itu kini merebak ke beberapa bandar utama termasuk Mumbai, Bengaluru, Kolkata, Goa, Guwahati, Thiruvananthapuram, Jammu dan Ahmedabad, sekali gus menjadi cabaran terbesar daripada golongan belia yang pernah dihadapi Modi sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2014.

Pada Rabu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Rahul Gandhi berhimpun di luar bangunan Parlimen di New Delhi, dengan ramai daripada mereka berpakaian hitam sambil membawa plakad menuntut Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan.

Mereka kemudian mengganggu prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan laungan bantahan yang memaksa sidang ditangguhkan berulang kali.

Dalam sidang media, Gandhi berkata, pelajar mahu Pradhan berundur, tindakan terhadap individu yang didakwa memukul penunjuk perasaan di Delhi diambil, selain menuntut Modi memohon maaf kepada mereka.

“Kami menyokong mereka sepenuhnya. Perkara ini tidak boleh dirunding dalam apa jua keadaan,” katanya.

Pada Selasa, Parti Kongres yang dipimpin Gandhi mengadakan bantahan duduk di luar kediaman rasmi Modi. 

Polis menahan Gandhi, adiknya Priyanka Vadra dan beberapa pemimpin pembangkang lain sebelum membebaskan mereka tidak lama kemudian.

Protes merebak ke beberapa bandar

Gerakan protes oleh Cockroach Janta Party (CJP) bermula sebagai satira dalam talian dan hanya disertai beberapa ratus golongan muda ketika ia pertama kali dilancarkan.

Namun pada Rabu, ribuan peserta sekali lagi berhimpun di tapak protes Jantar Mantar di Delhi sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera India.

Tahap keselamatan di ibu negara turut dipertingkatkan. 

Delhi Metro Rail Corporation menutup 16 stesen di kawasan pusat bandar sebelum membukanya semula pada petang Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi mengadakan protes balas terhadap Kongres di beberapa bandar di India.

Meriam air digunakan bagi menyuraikan penyokong BJP di Jaipur, Raipur dan Thiruvananthapuram, manakala insiden baling batu antara penunjuk perasaan turut dilaporkan berlaku di Patna, menurut laporan media tempatan.

Lewat Selasa, Pradhan yang pertama kali mengulas tuntutan supaya beliau berundur berkata kerajaan komited menangani kebimbangan rakyat serta melaksanakan reformasi sistem peperiksaan.

Aktivis tetapkan syarat baharu untuk tamatkan mogok lapar

Pradhan, 57, merupakan antara pemimpin kanan BJP yang dilihat berpotensi menerajui parti itu pada masa depan.

Beliau telah menganggotai Kabinet sejak Modi mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 2014 dan pernah memegang beberapa portfolio penting. 

Modi dan BJP setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap desakan supaya beliau meletakkan jawatan, sesuatu yang menurut penganalisis mencerminkan kedudukannya yang penting dalam parti.

Peningkatan sokongan terhadap CJP mencerminkan kekecewaan golongan muda India terhadap peluang pekerjaan yang terhad serta isu kebocoran peperiksaan yang berulang kali menjejaskan masa depan mereka. 

Situasi itu turut memberi ruang kepada parti-parti pembangkang untuk menekan Modi dan BJP yang selama ini banyak bergantung kepada sokongan pengundi muda.

Gerakan CJP mendapat momentum selepas disokong aktivis terkenal, Sonam Wangchuk yang memulakan mogok lapar pada 28 Jun lalu. 

Bagaimanapun, beliau dipindahkan secara paksa ke hospital oleh pihak polis pada Sabtu.

Pada Selasa, Wangchuk dipindahkan ke sebuah hospital swasta selepas mahkamah mengeluarkan perintah susulan petisyen yang difailkan isterinya.

Dua menteri kerajaan Modi turut menemui Wangchuk pada malam Selasa dan menggesanya menamatkan mogok lapar berkenaan.

Namun, Wangchuk menegaskan beliau hanya akan menghentikan mogok itu sekiranya kerajaan memberi jaminan bahawa peserta protes tidak akan dikenakan sebarang “tindakan undang-undang berbentuk hukuman atau balas dendam” kerana terlibat dalam gerakan tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement