TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengkritik langkah beberapa pemimpin pembangkang yang mula menyelaraskan strategi bagi menumbangkan kerajaannya menjelang pilihan raya Knesset pada 27 Okt.
Lima pemimpin pembangkang dilaporkan mengadakan pertemuan di kediaman Ketua Pembangkang, Yair Lapid, di Tel Aviv pada Sabtu bagi menyelaraskan pendekatan mereka sebelum pilihan raya.
Sebagai reaksi pertama terhadap kerjasama itu, Netanyahu mendakwa pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, berusaha membentuk kerajaan bersama Lapid, Yair Golan, parti Bennett 2026, Yisrael Beiteinu dan beberapa parti Arab.
Menerusi hantaran di platform X, Netanyahu berkata hanya parti Likud yang kuat mampu menghalang gabungan tersebut daripada mengambil alih pemerintahan negara.
Pertemuan itu disertai Lapid yang mengetuai Yesh Atid, Naftali Bennett (Bennett 2026), Avigdor Lieberman (Yisrael Beiteinu), Eisenkot (Yashar) dan Yair Golan daripada parti Democrats.
Lapid turut berkongsi gambar pertemuan serta dokumen yang menggariskan prinsip kerjasama antara parti-parti berkenaan sehingga pilihan raya dan selepas proses pengundian.
Menurut dokumen itu, setiap pemimpin parti berikrar meningkatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan penyokong masing-masing serta menarik sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan baharu.
Mereka juga bersetuju menubuhkan tiga kumpulan kerja bersama dalam tempoh 48 jam.
Kumpulan pertama akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan pengundi dan memastikan integriti proses pilihan raya.
Kumpulan kedua akan merangka garis panduan asas kerajaan yang mahu dibentuk pembangkang, termasuk cadangan menubuhkan suruhanjaya siasatan rasmi berhubung serangan 7 Oktober 2023 serta menggubal perlembagaan baharu.
Kumpulan ketiga pula akan menyelaraskan strategi media dan menangani apa yang disifatkan sebagai penyebaran berita palsu serta kempen fitnah.
Bekas perdana menteri, Naftali Bennett, dalam kenyataannya berkata beliau yakin gabungan pembangkang mampu memenangi 63 kerusi dan bekerjasama untuk membawa perubahan kepada Israel.
Menurutnya, semua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pilihan raya dengan matlamat membentuk kerajaan baharu.
Pilihan raya itu dijangka menjadi ujian penting kepada kepimpinan Netanyahu ketika blok pembangkang berusaha menyatukan sokongan bagi menamatkan pemerintahan kerajaan pimpinannya.