SHANGHAI: Model pembangunan China memberi kesan mendalam kepada seluruh dunia, kata Ketua Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Alexander De Croo dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di sini, baru-baru ini.
Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kesembilan dirasmikan di Shanghai pada 5 Nov lalu, dengan UNDP menyertai ekspo itu buat kali pertama.
De Croo berkata UNDP akan menubuhkan Pusat Kelestarian Global di Shanghai bagi berkongsi pengalaman kerjasama antara organisasi itu dengan China.
"Melalui pusat ini, kami ingin berkongsi pengalaman kerjasama antara UNDP dan China sepanjang 50 tahun lalu dengan seluruh dunia.
"Selain itu, kami juga mahu memperkenalkan pengalaman China dalam pembaharuan dasar dan transformasi perindustrian kepada dunia bagi membantu negara lain mempercepat pembangunan masing-masing," kata beliau.
Dalam temu bual itu, De Croo turut memuji pencapaian pembangunan China, khususnya kemajuan negara berkenaan dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan bidang inovasi.
Beliau berkata ketika cabaran global semakin meruncing, negara membangun memerlukan penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan secara meluas bagi merealisasikan matlamat pembangunan mereka.
"Kami berharap masyarakat antarabangsa dapat memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan menyatukan konsensus pembangunan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih banyak negara dan rakyat," kata beliau.
-- BERNAMA-CMG