Pembangunan China seiring dengan visi Trump - Xi Jinping

Xi menegaskan bahawa China dan AS mempunyai keupayaan untuk saling membantu mencapai kejayaan dan kemakmuran bersama. - Gambar/ Reuters
BUSAN: Presiden China Xi Jinping berkata pembangunan dan kebangkitan negaranya bergerak seiring dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk "Menjadikan Amerika Hebat Semula."
Xi menyampaikan kenyataan itu semasa pertemuan dengan Trump selepas tiba di Busan bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-32 di Gyeongju serta mengadakan lawatan negara ke Korea Selatan.
Beliau menegaskan bahawa China dan AS mempunyai keupayaan untuk saling membantu mencapai kejayaan dan kemakmuran bersama.
"China dan Amerika Syarikat seharusnya menjadi rakan kongsi dan sahabat. Itulah yang diajar oleh sejarah, dan itulah juga keperluan dunia masa kini," kata Xi.
Xi turut menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan Trump bagi membina asas kukuh hubungan dua hala serta mewujudkan suasana positif untuk pembangunan kedua-dua negara.
Beliau memberi perumpamaan hubungan China-AS seperti sebuah kapal besar yang perlu dikemudi dengan berhati-hati agar terus berlayar stabil ke hadapan.
Sejak Trump dipilih semula sebagai presiden, kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan tiga panggilan telefon, bertukar beberapa pucuk surat dan mengekalkan komunikasi rapat.
Menurut Xi, hubungan China-AS secara keseluruhannya kekal stabil di bawah pimpinan bersama kedua-dua pemimpin itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam rundingan ekonomi dan perdagangan terbaharu di Kuala Lumpur beberapa hari lalu, pasukan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara mencapai konsensus asas dalam menangani isu-isu utama masing-masing, yang menjadi asas penting bagi pertemuan hari ini.
Memandangkan keadaan nasional yang berbeza, Xi berkata adalah perkara biasa bagi dua ekonomi terbesar dunia itu mempunyai perbezaan pandangan dan ketegangan dari semasa ke semasa.
"Dalam menghadapi angin, gelombang dan cabaran, kita perlu kekal di haluan yang betul, mengemudi landskap yang kompleks dan memastikan "kapal besar" hubungan China-AS terus berlayar dengan stabil," katanya.
Xi turut menyatakan bahawa Trump menunjukkan minat mendalam untuk menyelesaikan pelbagai isu panas di rantau ini, sementara China pula terus berusaha mempromosikan rundingan damai bagi menangani konflik serantau.
Beliau menegaskan bahawa dalam menghadapi pelbagai cabaran global masa kini, China dan Amerika Syarikat boleh bersama memikul tanggungjawab sebagai kuasa besar dunia demi keamanan dan kemakmuran sejagat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


