Skip to main content

Dunia

Pemegang jawatan politik Singapura terima pelarasan gaji sekali sahaja sehingga 9 peratus

Sumber: REUTERS
Wong turut mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan keseluruhan jumlah kenaikan gajinya kepada penerima yang sesuai dalam tempoh lima tahun akan datang. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

SINGAPURA: Pemegang jawatan politik Singapura, termasuk menteri, akan menerima pelarasan gaji sekali sahaja sehingga sembilan peratus mulai 15 Okt, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa.

Beliau berkata langkah itu susulan syor sebuah jawatankuasa bebas yang mengkaji semula kerangka gaji politik, yang mencadangkan penanda aras gaji menteri peringkat permulaan dinaikkan daripada S$1.1 juta (S$1 = RM3.19) kepada S$1.8 juta.

Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata kadar gaji pemegang jawatan politik kekal tidak berubah sejak 15 tahun lepas.

Beliau berkata pelarasan itu akan berbeza mengikut keadaan individu, termasuk prestasi dan tempoh sejak pelarasan gaji terakhir pemegang jawatan berkenaan.

Sebagai contoh, beliau berkata seorang menteri pada gred menteri MR4 yang menerima gaji rujukan semasa sebanyak S$1.1 juta akan menyaksikan gajinya meningkat kepada kira-kira S$1.2 juta selepas pelarasan itu.

“Selepas pelarasan sekali sahaja ini, tiada lagi pelarasan khas akan dibuat untuk merapatkan jurang kepada S$1.8 juta.

“Sebaliknya, sebarang perubahan selepas itu akan berdasarkan prestasi dan tanggungjawab individu,” katanya di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan menteri sebagai respons terhadap usul “Semakan Gaji 2026 bagi Pemegang Jawatan Lantikan Politik dan Anggota Parlimen”.

Wong turut mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan keseluruhan jumlah kenaikan gajinya kepada penerima yang sesuai dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kerajaan akan terus membayar saya gaji yang diperuntukkan di bawah kerangka itu, sebagaimana sistem kita berfungsi. Saya kemudian akan mendermakan jumlah kenaikan itu kepada tujuan kebajikan yang bersesuaian.

“Ini keputusan saya sendiri. Saya tidak mengharapkan pemegang jawatan lain melakukan perkara yang sama,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata kerajaan turut menerima syor jawatankuasa berhubung perubahan gaji pemegang jawatan politik lain serta elaun Anggota Parlimen (MP).

Beliau berkata elaun bulanan MP akan dinaikkan daripada S$13,750 kepada S$18,500 berkuat kuasa pertengahan Oktober.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement