JAKARTA: Prabowo Subianto, yang kini seperti mendahului dengan selesa dalam Pemilihan Umum Presiden (Pilpres), ternyata mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan fikiran dalam pesta demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Melalui video berdurasi lima minit yang disiarkan di laman YouTube Kompas TV, selepas mengundi di TPS Hambalang, Bogor, bekas Menteri Pertahanan itu memilih untuk berenang di kediamannya.

Namun lebih menarik, biarpun masih berendam dengan dalam kolam renangnya itu, Prabowo tiada masalah untuk melayani persoalan media yang menunggu beliau di situ.

“Ini berenang ini kerana saya punya masalah dengan kaki saya. Kaki saya itu sudah ga bisa lagi yang berat-berat. Istilahnya lari. Jadi berenang itu yang paling bagus bagi saya, ternyata dengan berenang ini saya biasa merenung di air,” tambahnya. 


Media sebelum ini melaporkan beberapa kaji selidik yang memperlihatkan peluang yang tinggi untuk Prabowo menggantikan Joko Widodo sebagai presiden Indonesia seterusnya, berbanding Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan.

Untuk rekod, calon Presiden atau Capres memerlukan lebih 50 peratus undi keseluruhan dan sekurang-kurangnya satu perlima undi daripada 38 provinsi untuk memenangi pertandingan dan mengesahkan pemilikan jawatan sebagai Presiden Republik itu.

Mengulas mengenai perjalanan pemilihan itu, Prabowo mengingatkan bahawa tujuan utama pesta demokrasi ini adalah demi memberikan pemimpin dan wakil rakyat yang terbaik untuk rakyat.

“Saya berharap semua sihat, mengerti ini untuk tujuan yang besar. Jadi berwaspada, janganlah sesiapa persaingan itu yang kecewa, tidak mencapai hasil yang diinginkan. Tapi selalu saya kira harus pentingkan masa depan negara.

“Rakyat kita, menuntut semuanya harus untuk kepentinga yang besar, kepentingan rakyat, kepentingan masa depan, saya kira itu saya percaya bahawa masalah yang kurang baik ini hendaklah ditangani sebaiknya,” katanya lagi.